Keputusan penyasaran semula subsidi dibincang jemaah menteri Rabu depan, kata Rafizi


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata keputusan mengenai kaedah dan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar akan diputuskan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet Rabu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2024.

KEPUTUSAN mengenai kaedah dan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar akan diputuskan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet Rabu depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kertas memorandum Jemaah Menteri berkenaan mekanisme penyasaran semula subsidi itu diedarkan hari ini.

“Selepas keputusan mengenai kaedah, kumpulan mana, berapa, siapa yang akan dapat dan sebagainya itu dibuat akan membolehkan kerajaan mengumumkan bentuk bantuan subsidi bersasar selepas minggu depan.

“Jadi terpulang kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) bila masa yang sesuai untuk buat pengumuman (penyasaran semula subsidi),” katanya pada sidang media Pangkalan Data Utama (Padu) hari ini yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut Rafizi kerajaan akan cuba memastikan penyasaran semula subsidi itu benar-benar bersasar dan berbaloi kepada kumpulan yang layak menerimanya.

Beliau menjangkakan penyasaran subsidi bersasar akan bermula pada suku kedua tahun ini mengambil kira tempoh pendaftaran Padu yang akan tamat pada Mac ini.

Menurutnya setakat 4 petang tadi sebanyak 1.63 juta rakyat Malaysia termasuk golongan muda berusia bawah 18 tahun mendaftar dalam Padu dengan Putrajaya mencatatkan pendaftaran tertinggi berbanding negeri-negeri.

Bagi memastikan seramai mungkin rakyat berdaftar dalam Padu katanya usaha akan dipergiatkan ke arah itu dalam tempoh sebulan ini termasuk beliau sendiri turun padang bertemu menteri besar dan kepimpinan kerajaan negeri.

“Di peringkat kerajaan Persekutuan pula, arahan dikeluarkan oleh perdana menteri yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk memastikan semua penjawat awam berusaha mendaftar (dalam Padu) secepat mungkin,” katanya. – Bernama, 19 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen