Accio Technologies tidak terlibat pembangunan Padu, kata Rafizi 


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan sistem Padu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2024.

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli hari ini menolak dakwaan yang mengatakan sebuah syarikat teknologi, Accio Technologies terlibat dalam proses pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu).

Beliau sebaliknya menegaskan sistem berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.

“Saya mengambil maklum siaran sosial media oleh stesen radio BFM89.9 mengenai Dr Cher Han Lau, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Accio Technologies, yang mendakwa bahawa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan Padu.

“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan oleh Dr Cher adalah tidak benar,” katanya menerusi kenyataan.

Rafizi berkata pasukan analitik Padu telah menjemput Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia (upskilling) dalam sains data, berdasarkan keupayaan beliau membangunkan data raya (big data) dan machine learning.

“Proses pembangunan Padu, pengumpulan atau pembersihan data Padu tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau,” katanya.

Padu yang dilancarkan 2 Jan lepas merupakan pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang menetap di Malaysia, bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar.

Padu dibangunkan secara bersama menggunakan kepakaran dalaman daripada Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dengan kerjasama pelbagai agensi pembekal data. – Bernama, 9 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen