Ada apa dengan Dr Mahathir dan bangsa Malaysia


SAYA merujuk kepada kenyataan kontroversi terbaru Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih “terikat” dengan negara asal mereka.

Beliau yang bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

Sebagai seorang warganegara Malaysia, apa yang dinyatakan oleh Tun lebih mencetuskan persoalan dan perasaan ingin tahu untuk memahami analisa disebalik kenyataan beliau daripada menghakimi dan kecam beliau.

Biarpun jelas kenyataan negarawan veteran itu mencerminkan pemikiran zaman dia, namun ia membuka satu perbualan penting mengenai identiti kita sebagai orang Malaysia dan maksudnya.

Biar apa pun, kenyataan Tun mengenai untuk menganggap diri sebagai orang Malaysia sebagai orang Melayu mencetus satu persoalan penting kerana persoalan identiti kita sebagai orang Malaysia dan maksud perkataan “Malaysia” itu sendiri pernah terlintas beberapa kali dalam proses rekonsiliasi identiti diri dengan identiti negara.

Ini kerana Felo Persatuan DiRaja British, Adrian Room dalam bukunya Placenames of the world Origins and Meanings menyatakan nama Malaysia terbentuk daripada dua perkataan Bahasa Greek iaitu “Malay”, dan “-sia”.

“Malay” ialah perkataan Greek untuk “Melayu”; manakala “-sia” pula satu kata akhiran dalam Bahasa Greek yang bererti “negara” (‘-óßá’ di dalam abjad Greek); yang menurut terjemahan harfiah untuk “Malaysia” ke dalam bahasa Inggeris ialah Malay Nation dan terjemahan harfiah ke Bahasa Melayu ialah Negara Melayu.

Persoalanya, adakah kita semua Melayu apabila kita menganggap atau merujuk kepada diri kita sebagai orang Malaysia?

Perkara ini menjadi satu kontroversi apabila dibawa ke ruang awam terutamanya dalam konteks Sabah dan Sarawak yang juga merupakan masyarakat orang asal berbilang agama yang mempunyai identiti tersendiri yang tidak selari dengan Perkara 160 (2) yang meletakkan syarat agama.

Begitu juga dengan etnik etnik lain seperti Cina dan India yang juga bukan beragama islam merasakan janggal dengan identiti sebagai Melayu atas faktor yang sama. Namun, perkara ini menjadi releven kerana bila kita menganggap diri kita sebagai orang Malaysia, tanpa sedar atau tidak kita sedang membawa identiti sebagai Orang Melayu atau Malay People sebagai satu negara bangsa.

Namun, apa yang tersirat ini tidak mengarap imaginasi umum kerana, kita mengamalkan sistem liberal di mana semua bangsa hidup dalam “gelembung” identiti dan realiti sendiri tetapi juga merujuk kepada diri kita sendiri sebagai orang Malaysia terutamanya bila di luar negara.

Bolehkah kita selesaikan kontroversi ini dan bergerak ke depan sebagai negara bangsa setelah lebih 50 tahun menjadi negara?

Bergerak ke depan

Adakah kita boleh terima yang kita ini semua sebenarnya orang melayu bila disebut sebagai orang Malaysia?

Masalahnya di Malaysia bersifat kompleks dan mempunyai cabaran tertentu dari kedua dua pihak yang duduk di kedudukan yang bertentangan dalam perkara ini.

Kita sudah terlalu biasa dan leka dalam kehidupan gelembung yang semakin menebal di mana setiap kaum masing masing membayang identiti negara ikut acuan masing masing dan hanya bersama untuk tujuan simbolik semata semata bila bercakap mengenai identiti kita sebagai orang Malaysia.

Lebih merumitkan lagi keadaan ialah “intercultural engagement” atau penglibatan antara budaya dan semangat ambil tahu mengenai warisan dan sejarah etnik serta tanah yang diduduki ini sedang semakin pudar dalam mimpi ini.

Kontroversi ketuanan Melayu dan politik agama juga cenderung untuk mengasingkan masyarakat pelbagai bangsa dari berinteraksi dengan bebas serta dialog tapi hanya sekadar interaksi formal sahaja.

Begitu juga dengan pemikiran “supremist” yang melihat warisan, bahasa dan tradisi asal tempatan sebagai “inferior” atau rendah dan melayan tanah yang diduduki sebagai settlers state dengan sekadar bertoleransi dengan warisan tempatan.

Sabah Sarawak pula dari awal lagi berkecuali dan membawa aspirasi mengenai identiti sendiri kerana takut kolonisasi serta hilang identiti dengan kuasa dominan dari seberang. Ini sehingga wujud sistem imigresen sesama wilayah dalam negara sendiri.

Begitu juga dengan sikap orang Semenanjung yang melihat warga Sabah Sarawak sebagai orang asing dengan prejudis dan stereotaip.

Semua perkara ini menghalang kita dari membicarakan persoalan penting identiti sebagai orang Malaysia yang sebenarnya bermaksud orang Melayu selain isu Perkara 160(2).

Gajah di dalam bilik

Masalahnya, sehingga hari ini, kontroversi identiti negara bangsa masih tidak terjawab kerana tiada satu pun pemimpin yang peduli pasal “nation building” atau membina negara serta negara bangsa.

Kalau bukan slogan slogan untuk tujuan identiti politik, kita sering hantam menghantam sesama sendiri setiap kali ada hujah hujah yang mengenai isu ini.

Yang mengeruhkan lagi keadaan, pernyataan kita sering bersifat dalam konteks politik kepartian dan bukan untuk membina perbualan yang objektif. Kita juga semakin terpisah dari masing-masing kerana kita mempunyai mimpi yang berbeza biarpun sedang tidur di katil yang sama.

Namun, tidur ini tidak sempurna sehingga isu persoalan negara bangsa dan identiti ini diperjelaskan dan diperkasakan kerana duri polemik politik mempunyai risiko untuk pecahkan gelumbung rapuh ini.

Persoalan yang perlu dijawab ialah adakah kita ini sebuah negara multikultural atau pelbagai kaum di mana semua kaum dan agama serta budaya sama rata dan bersifat liberal seperti Indonesia atau kita adalah sebuah negara Melayu Islam yang bertoleransi dengan kaum serta agama lain termasuk wilayah wilayah yang di federasi iaitu Sabah dan Sarawak melalui kontrak sosial dan perjanjian penjajah?

Ini gajah di depan mata yang pura-pura tidak dilihat oleh mereka mereka yang memegang amanah negara.

Adakah istilah Melayu yang sebenarnya luas dan bersifat inklusif yang diistilahkan British yang membawa pelbagai etnik etnik di Nusantara dan dari luar di bawah satu identiti boleh diperluaskan kepada semua umat Malaysia?

Persoalanya rumit dan perlu pendekatan melangkaui kepentingan politik dan kematangan bual bicara. Solusinya mungkin tidak mudah kerana kekusutan yang kita warisi dan prasangka yang tebal.

Namun, kita sebagai orang Malaysia mempunyai satu keunikan yang luarbiasa, iaitu bahasa yang mengikat kita sebagai satu umat negara.

Di mana kita menjadi Orang Malaysia atau Orang Melayu berasaskan bangsa yang mengunakan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca sebagai ikatan serta nilai liberal kita memperkasakan warisan dan sejarah bumi ini serta identiti semua kaum dan etnik dipelihara dan di lindungi melalui satu rukun negara?

Keunikan ini jelas menjadi kekuatan kita dimana jika dibandingkan dengan negara seperti India, Bahasa yang digunakan terputus dan jadi asing hanya sekadar bila masuk ke negeri lain.

Bolehkah kita menjadi seperti Inggeris atau Sepanyol hari ini yang mempunyai identiti negara bangsa berasakan ikatan bahasa serta nilai nilai progresif serta perlindungan warisan legasi tanah dalam kepelbagaian?

Ataupun, kita harus menjadi seperti Australia yang menepikan legasi Bahasa,warisan budaya dan tanah ke muzium dan ambil identiti dari legasi penjajah dengan Bahasa Inggeris sebagai ikatan dan baginda Raja British sebagai simbol warisan negara?

Ataupun kita mahu menjadi seperti Singapura yang juga pencenkan warisan ke muzium dan gunakan tiga bahasa sebagai ikatan biarpun kita mempunyai puluhan bahasa pribumi orang asli dan orang asal Sabah dan Sarawak?

Kita boleh terus abaikan perkara ini dan teruskan budaya kecam mengecam atau mulakan perbualan yang sihat dengan melihat gajah di depan mata dan bergerak sebagai negara bangsa yang matang tanpa was was dengan kepelbagai kita.

Hanya untuk mencetus perbualan dari kontroversi seorang negarawan veteran sebagai kesetiaan kepada sebuah negara bangsa dengan semangat madani. – 19 Januari, 2024.

* K Shan adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen