Laporan berkenaan simpanan luar pesisir beri tanggapan salah laku, kata isteri Daim


Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata beliau adalah ahli perniagaan yang kaya dan berjaya, sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2024.

LAPORAN berita berkenaan dokumen bocor mengaitkan keluarga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berniat untuk memberikan tanggapan salah laku.

Isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid berkata laporan yang disensasikan semalam melaporkan perincian simpanan luar pesisir bernilai ratusan juta milik keluarga itu memberi tanggapan salah laku atau pemilikan harta diperoleh secara haram oleh ahli keluarganya.

“Kami tidak pernah menyembunyi atau merahsiakan fakta memiliki aset di luar negara, iaitu hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sah sebelum Daim berkecimpung dalam politik pada 1984.

“Hakikatnya, pengarang laporan itu tidak pun mencadangkan wujudnya elemen jenayah, justeru menimbulkan persoalan mengapa laporan sedemikian diterbitkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Na’imah berkata dalam melaporkan sesuatu berita, mencemarkan nama baik seseorang dengan cara memuatkan tuduhan tersirat dan tanggapan tanpa disertakan bukti kukuh adalah salah dan tidak beretika.

“Ia menjurus kepada pembunuhan watak dengan bertopengkan laporan berita,” katanya.

Tanpa sebarang salah laku, Na’imah mempersoalkan kewajaran untuk membincangkan kewangan persendirian seseorang, sama ada butiran tersebut betul atau tidak dengan cara cubaan menuduh konon wujudnya salah laku serius.

“Laporan ini akan hanya meniupkan prasangka, khabar angin dan andaian terhadap kami atau mana-mana orang dalam situasi sama. Tidak syak lagi inilah tujuan ia diterbitkan,” katanya. – 19 Januari, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen