Perkukuh Hubungan Geostrategik Tokyo-Kuala Lumpur


LEMBARAN baharu pertalian Kuala Lumpur-Tokyo dalam anjakan kepada Hubungan Komprehensif Strategik menjadi medan kritikal dalam pulangan geopolitik kepada kedua-dua negara. Hubungan yang diperdalam semasa Kemuncak Ulangtahun ke-50 Asean-Jepun ini mencorak landskap geopolitik baharu, selari dengan kegusaran pertalian dua hala ini didominasi oleh agenda perdagangan, ekonomi,kemajuan teknologi, pelaburan dan kerancakan people to people relations sejak beberapa dekad lalu.

Namun, hubungan keselamatan dan pertahanan masih tidak diangkat dalam konteks kepentingan yang setara dengan fokus ekonomi dan perdagangan sebelum ini, dan ini bakal berubah dengan perubahan konteks geopolitik dan keselamatan yang mencetus impak kepada kedua-dua negara.

Malaysia kekal menjadi medan pertaruhan untuk percaturan geostrategik Tokyo, dalam sudut kepentingan keselamatan dan perlindungan sektor kritikal termasuk keselamatan rantaian bekalan, keselamatan makanan, dan domain maritim dan laluan perdagangan serantau. Ini menjadi nukleus utama dalam memastikan tuntutan keselamatan dan pertahanan Jepun kekal terpelihara dalam menghadapi ancaman keselamatan tiga penjuru Moscow-Pyongyang-Beijing yang membentuk jaringan ancaman terbesar bagi Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

Malaysia menjadi pentas sandaran second front fallback platform di rantau Asia Tenggara, dan terus memainkan peranan sebagai pelengkap kepada hasrat baharu Tokyo bagi rantau Asia Tenggara, terutamanya dalam domain keselamatan dan sebagai aset penambah nilai kepada mekanisme sedia ada termasuk Quad dan Aukus.

Jaringan pertalian lebih komprehensif dan bersasar telah pun dijalin secara bilateral dengan pelaku strategik di rantau ini, terutamanya dengan Vietnam dan Filipina. Ini memberikan pulangan kritikal kepada Tokyo dalam percaturan untuk mematahkan momentum dan kelebihan pangkalan China yang makin meluas di sekitar Laut China Selatan termasuk di pangkalan baharu Ream di Kemboja.

Percubaan Jepun ini penting dalam memastikan kapasiti bersama Amerika Syarikat kekal kukuh dalam memperkasa keupayaan interoperability maritime command dan kapasiti cegah rintang bersama untuk mempertahankan dominasi di First Island Chain dan juga memperkukuh second strike capacity dalam impak bersangkai potensi tindakan ketenteraan ke atas Taiwan yang akan melibatkan Jepun secara langsung dengan keberadaan pangkalan ketenteraan Washington di Okinawa yang menjadi radar strategi serangan dan taktikal Beijing.

Asia Tenggara menjadi medan penghubung dalam strategi tiga berangkai Jepun untuk memelihara kepentingan keselamatan ekonomi, perdagangan, rantaian bekalan dan kedaulatan wilayah. Pertamanya, rantau ini menjamin kesinambungan laluan maritim dan perdagangan yang memberikan sandaran keselamatan sumber tenaga dan makanan kepada Jepun yang bergantung kepada sumber luaran terutamanya Timur Tengah.

Ini termasuk sandaran dari segi laluan komunikasi dan digital bawah laut dengan laluan strategik kabel internet and komunikasi yang akan menjamin pulangan strategik semasa dan pasca konflik.

Dalam jangkauan Tokyo untuk memperluas rangkaian Overseas Security Assistance (OSA), Malaysia kekal memberikan pulangan komprehensif berbanding pelaku lain. Kedudukan strategik di Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi sandaran strategik kepada Tokyo dalam jaminan keselamatan tenaga dan sumber mineral, dan Malaysia terus menjadi medan pertalian yang rapat dalam sektor lain yang akan memberikan faktor kepercayaan yang tinggi dalam usaha untuk memperdalam rangkaian soft power Jepun di rantau ini yang diterajui oleh Overseas Development Assistance (ODA) dan juga tanggungjawab sistematik kualiti pelaburan dan spillover impact yang memanfaatkan komuniti tempatan.

Tokyo kini memasuki fasa peralihan daripada kepompong dan limitasi percaturan keselamatan yang disebabkan oleh kekangan pacifist constitution yang menghindari gerakan dan percubaan untuk melonjak keberkesanan dan rangkaian sistem ketenteraan dan pertahanan Jepun.

Ini diberi nafas baharu dalam era baharu dimensi keselamatan Tokyo, yang kini mengintai ruang untuk memperdalam keberkesanan diplomasi keselamatan dan perluasan soft power yang membentuk rangkaian serampang dua mata bagi menangani ancaman Beijing dan juga menawan hati rantau yang telah lama menyaksikan tawanan rangkaian dasar kepercayaan terhadap Jepun yang telah bertapak jauh lebih lama berbanding dengan percubaan perluasan soft power China.

Dalam menggunakan kelebihan Malaysia dalam mengambil alih kepimpinan ASEAN menjelang 2025, defence diplomacy terus menjadi pertaruhan dalam  membentuk alternatif pulangan keselamatan dan cegah rintang kepada Jepun. Ini menjadi pelengkap kritikal dalam menyaksikan percubaan Jepun untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada Washington sebagai rakan keselamatan terpenting dan terbesar, selain daripada kebergantungan kepada pakatan Camp David bersama Seoul serta Quad.

Tatkala Beijing cuba untuk mencari penyelesaian strategik kepada Malacca Dilemma dalam memastikan kebergantungan laluan perdagangan baharu  alternatif kepada Selat Melaka, Jepun berdepan dengan masalah kritikal dalam jaminan keselamatan maritim dan laluan perdagangan strategik ini yang akan menentukan masa depan keselamatan sumber tenaga dan makanan kepada Jepun terutamanya semasa konflik sebenar.

Beijing menyandarkan kepada impak BRI dalam menghasilkan benteng alternatif kepada jaminan laluan tenaga dan makanan melalui benua darat Asia Tenggara dengan laluan perdagangan dari Yunnan ke Myanmar dan juga laluan merentasi Pakistan dengan keberadaan strategik pelabuhan Gwaddar.

Rangkaian strategik BRI ini memberikan pulangan usaha untuk menjamin kesinambungan kapasiti perlindungan kepada Beijing dalam keupayaan self-sufficiency capacity sebagai insurans terhadap potensi sekatan ekonomi sekiranya konflik tercetus.

Jepun tidak memiliki kelebihan yang ada pada Beijing dalam domain percaturan jaminan kelangsungan laluan bekalan tenaga dan makanan ini. Walaupun mempunyai kelebihan dari segi kepercayaan dan akar umbi pertalian yang rapat yang memaparkan julat masa yang lebih panjang keberadaan Jepun di rantau ini dari segi jalinan budaya, pelaburan dan pemindahan teknologi dan soft power berbanding dengan China, Jepun kekal sukar dalam membentuk pakatan dan jaringan strategi maritim dan juga geopolitik yang dapat menjamin keperluannya semasa konflik.

Laluan utama masih berkisar pada sandaran Selat Melaka, dan sebarang usaha untuk membentuk pertalian lebih mendalam dengan pelaku strategik di sekitar laluan ini terbantut dengan kekangan sumber dan perbelanjaan Jepun.

Cabaran ancaman baharu memaksa Jepun untuk memperluas jaminan keselamatan, dan Quad serta pakatan Camp David menjadi alat baharu selain daripada memperkasa jaringan demokrasi dan diplomasi pertahanan kepada pelaku baharu dan juga rakan lama di rantau strategik.

Jepun masih bersandarkan kepada Lautan Hindi dan Laut China Selatan dalam laluan perdagangan dan rantaian bekalan, dan percubaan baharu OSA ini berkisar kepada mempertingkat keupayaan rakan serantau untuk mengalih fokus dan sandaran kepada China dalam paksi keselamatan dan pertahanan dan mengambil kira Jepun sebagai kuasa keselamatan yang kritikal, dalam usaha untuk keluar daripada kepompong persepsi terhadap Jepun yang berkisar kepada sudut ekonomi, nilai, etika dan pelaburan teknologi tinggi.

Potensi laluan maritim baharu di Laut Artik di Kutub Utara, Northern Sea Route kekal menguntungkan Rusia apabila dampak perubahan iklim akan mencetus pembukaan laluan maritim baharu yang akan menghubungkan Asia Timur kepada Eropah dalam perjalanan dan tempoh yang lebih singkat.

Ini turut mendatangkan kelebihan pilihan sedia ada kepada China, namun bagi Jepun, ia kekal terperangkap dalam kapasiti yang dimiliki Moscow dalam dominasi perairan tersebut. Pertikaian dengan Rusia turut mengekang prospek untuk membuka ruang geografi kepada Jepun di utara, barat dan selatan Jepun.

Tokyo memerlukan sokongan AUKUS dan juga rakan sekutu Quad terutamanya India dan Australia dalam mengekang kemaraan Beijing dan menggunakan ancaman dari Pyongyang sebagai faktor sandaran dan justifikasi bersama dengan Seoul untuk meraih lebih banyak jaminan dan aset keselamatan daripada Barat dan juga faktor kepada perluasan rangkaian keselamatan di Asia Tenggara dan negara pulau Pasifik untuk mempertahankan kesinambungan demokrasi dan acuan Indo Pasifik yang mengangkat darjat rules based order dan normative international values.

Tokyo berkongsi kegusaran sama dengan Canberra dalam percaturan untuk mempertahankan kestabilan serantau dan undang-undang maritim untuk membenarkan laluan bebas tanpa risiko sekatan oleh Beijing.

Canberra menjadi domain sokongan kepada Tokyo dalam memberikan kelebihan geografi dari segi kedudukan pangkalan kapal selam AUKUS di Perth, dan ini turut membantu dari segi julat masa respon dna tindak balas terhadap sebarang konflik di Laut China Selatan.

Laluan strategik baharu dalam menghubungkan Laut China Selatan dengan Lautan Hindi melalui Selat Sunda dan Selat Lombok turut diintai Jepun dengan gandingan bersama kedudukan lebih strategik kapal selam Canberra, namun pulangan jangka panjang dikekang dengan dominasi Beijing yang kian meningkat di selat tersebut sebagai laluan kapal selamnya dalam akses kepada Lautan Hindi.

Asia Tenggara dan Malaysia kekal dalam radar maritim dan geografi kritikal buat Tokyo, sebagai medan penghubung laluan maritim dan juga sebagai sandaran benteng ekonomi dan keselamatan. Walaupun dikritik sebagai lambat dan kurang keberkesanan dalam permainan dan persaingan pengaruh dan kuasa di rantau ini berbanding dengan usaha dan momentum Beijing yang melipat ganda sejak dua dekad lalu, Jepun tetap mempunyai kelebihan dari segi nilai, kepercayaan dan kualiti etika dan jangkaan keyakinan jangka panjang dalam menawan pelaku rantau dan menggunakan ruang kegusaran rantau terhadap perluasan kuasa Beijing untuk mengisi lompong dan ruang security gap rantau ini bersama dengan tawaran keselamatan Barat.

 Ini menjadi pelengkap kepada usaha untuk mematahkan impak pangkalan dan perluasan power projection Beijing di Laut China Selatan dengan kapasiti pangkalan Ream dan juga friendshoring capacity di rantau ini dan di Asia Selatan dalam mengekang Washington dan New Delhi.

Jepun kini menjadi aset semakin kritikal bagi Washington, Seoul, New Delhi, Canberra, Asia Tenggara dan Taiwan dalam mengekalkan jurang keupayaan cegah rintang dengan paksi tiga berangkai Pyongyang-Moscow-Beijing, terutamanya dalam menyaksikan percubaan Pyongyang untuk memperdalam kerjasama pertahanan dengan Moscow dengan membekalkan senjata dalam perang Ukraine dan juga kapal pengangkut pesawat baharu China, Fujian yang bakal beroperasi dengan teknologi dan kapasiti moden yang boleh memberikan cabaran sengit terhadap kapasiti USS Gerald Ford. – 19 Januari, 2024.

* Collins Chong Yew Keat, Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen