Pengguna jujur tanggung pengguna 'curi air' walaupun diberi rebat dan subsidi?


SEBAGAI sebuah Pertubuhan mewakili pengguna adalah tanggungjawab untuk memberi kesedaran bahawa semua pengguna harus membayar sekurang-kurangnya kos pengeluaran satu-satu barangan ataupun perkhidmatan pengguna di pasaran.

Sebarang bentuk subsidi ataupun rebat juga ditanggung oleh pengguna lain (pengguna bukan sasaran) ataupun diambil dari cukai (dibayar oleh semua pengguna) dibayar kepada kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan yang menanggung kos subsidi. Penggunaan dana awam ini menafikan keperluan lain seperti peruntukan pembangunan lain yang lebih memerlukan.

Kerajaan-kerajaan negeri masih tidak memenuhi matlamat peralihan perkhidmatan bekalan air kepada entiti korporat/syarikat untuk meningkatkan kecekapan dan menurunkan kos pengeluaran.

Laporan bahawa syarikat-syarikat bekalan air diperalatkan untuk kepentingan lain seperti memberi sumbangan kepada kempen-kempen bukan aktiviti “core” terus menjadi amalan sambil syarikat bekalan air merai tunggakan bayaran elektrik sehingga RM1 bilion, kelewatan melaksanakan kontrak-kontrak pemulihan, defisit bayaran operasi sambil terus mengulangi alasan kadar air tanpa hasil (non-revenue water, NRW) tinggi, paip lama, kadar tarif rendah dan sebagainya.

Apakah tindakan ke atas aduan awam ke atas kebocoran?

Syarikat-syarikat dengan daerah-daerah mencapai NRW sehingga 70% masih tidak menubuhkan pasukan-pasukan mengesan kebocoran paip air. Sebagai satu entiti bermatlamat berdaya maju seharusnya mempunyai mekanisme pengurusan risiko kerugian dengan mengadakan pasukan mengesan kebocoran paip air.

Mengapa pihak syarikat bekalan air ambil tempoh masa yang lama untuk bertindak ke atas aduan awam tentang kebocoran?

Kelewatan dan kegagalan untuk bertindak ke atas kebocoran paip-paip air mengwujudkan ketidakyakinan orang awam kepada tindakan kepada aduan awam. Laporan dari orang awam mengurangkan tugasan pasukan mengesan kebocoran paip air dan harus menjadi keutamaan menguruskan aduan awam dalam pengurusan risiko. Kejadian kebocoran paip air yang berlarutan juga menjadikan budaya pembaziran air sebagai suatu yang lazim (normal).

Apakah perlu ditukarkan paip lama yang masih berfungsi baik?

Perunding-perunding antarabangsa juga persoal alasan “paip lama” sebagai alasan kerana NRW tinggi. Perunding-perunding juga menegaskan odit penghasilan air terawat adalah asas untuk mengenal pasti NRW sebenar yakni meter di LRA (loji rawatan air) dan meter DMA (district meter area). Bacaan meter LRA tolak bacaan DMA akan menunjukkan NRW supaya keutamaan diberikan untuk tindakan pasukan NRW.

Apakah ketelusan dan kebertanggungjawapan syarikat-syarikat air?

Syarikat-syarikat masih tiada perancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Semua jawapan kerajaan negeri tentang masalah belakan air adalah “AKAN SELESAI PADA 2025 atau 2026 atau 2027” menunjukkan semua masalah bekalan air menantikan pembiayaan modal berbilion ringgit menunggu kerajaan persekutuan.

Masih satu peratusan tinggi meter pengguna dikategorikan sebagai meter rosak. Penukaran meter air sebagai buah-buah rendang (low hanging fruit)s) harus menjadi permulaan untuk mengurangkan NRW. Kerajaan persekutuan sememangnya memberi bantuan dalam perkara ini. Apakah kemajuan sehingga kini?

Apakah peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)?

Laporan media menyatakan, “Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas, termasuk lesen ditarik, denda atau hukuman yang lebih tinggi”

Dengan prestasi syarikat-syarikat bekalan air yang amat lemah dan berlanjutan memerlukan tindakan pihak SPAN lebih tegas dan telus supaya pengguna sebagai pihak pemegang taruh utama menuntut kebertanggungjawapan (accountability) oleh setiap syarikat bekalan air melaksanakan perancangan yang diluluskan oleh pihak SPAN.

Kegagalan agensi kawal selia UK harus menjadi peringatan kepada semua pihak supaya tindakan ke atas semua perkhidmatan bekalan air di semua peringkat tanpa menanti krisis bilamana kenyataan-kenyataan media diberikan sebagai penjelasan.

Pihak SPAN juga harus mewajibkan semua syarikat-syarikat bekalan air melantik wakil pengguna bebas (individu yang tiada kaitan dengan industri ataupun politik) untuk ketelusan dan kebertanggungjawapan.
SPAN juga harus menggunakan kuasa di bawah Akta 655 untuk mengambilalih pengurusan syarikat-syarikat bekalan air yang terus gagal meningkatkan prestasi seperti dikehendaki. – 19 Januari, 2024.

* Mohd Saiful Abdullah, Setiausaha Kehormat Persatuan Pendidikan Dan Penyelidikan Untuk Pengguna-Pengguna Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen