Ringgit melantun semula, dibuka mengukuh berbanding dolar


Ringgit meningkat kepada 4.7130/7180 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7145/7200 yang dicatatkan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2024.

RINGGIT melantun apabila dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam senario pasaran yang tidak menentu berikutan hala tuju berkaitan penurunan kadar faedah utama, kata ahli ekonomi.

Pada 9.04 pagi ringgit meningkat kepada 4.7130/7180 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7145/7200 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan seakan wujud situasi ‘tarik tali’ antara pasaran dan pihak Fed membabitkan tempoh penurunan kadar faedah utama negara maju itu.

“Tahap kemungkinan untuk Kadar Dana Fed dikurangkan pada Mac ini berdasarkan pasaran derivatif, kini susut 57.2 peratus daripada 73.6 peratus seminggu lalu.

“Apa yang pasti, wujud peningkatan ketara untuk kadar itu menjurus kepada harga aset lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Dari sudut teknikal, Mohd Afzanizam berkata dolar AS berbanding ringgit juga lebih hampir dengan kedudukan mata wang itu dijual secara berlebihan.

Dalam pada itu ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama kecuali berbanding euro yang susut kepada 5.1343/1398 daripada 5.1284/1344 pada akhir sesi urus niaga semalam.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9770/9834 daripada 5.9799/9868 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1849/1885 daripada 3.1919/1959, sebelum ini.

Unit tempatan itu juga menyaksikan prestasi yang kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean seperti meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2790/3003 daripada 13.2795/3010 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.7 daripada 301.3/301.8.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5083/5122 daripada 3.5081/5127 semalam dan tidak berubah berbanding dolar peso Filipina pada 8.43/8.45. – Bernama, 18 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen