Ringgit dibuka positif berbanding dolar AS


Ringgit meningkat kepada 4.6480/6545 berbanding dolar AS daripada 4.6525/6580 pada Jumaat lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

RINGGIT dibuka positif hari ini apabila dolar AS tidak berubah selepas data pengambilan pekerja Amerika Syarikat (AS) yang terkini menolak kebimbangan mengenai kemelesetan.

Pada 9.01 pagi ringgit meningkat kepada 4.6480/6545 berbanding dolar AS daripada 4.6525/6580 pada Jumaat lepas.

Data ekonomi terkini daripada AS adalah bercampur-campur menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu kekal berdaya tahan walaupun terdapat kelemahan.

Sebanyak 216,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada Disember mengatasi unjuran sebanyak 170,000.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan adalah pada data inflasi AS pada minggu ini.

“Inflasi dijangka kekal stabil pada sekitar 3.2 peratus pada Disember manakala Indeks Harga Pengguna (IHP) teras diunjurkan susut kepada 3.8 peratus daripada 4.0 peratus sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.9132/9215 daripada 5.8891/8961 pada Jumaat lepas, susut berbanding euro kepada 5.0886/0957 daripada 5.0763/0823 minggu lepas dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2144/2191 daripada 3.2038/2078 sebelum ini.

Pada masa sama ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4968/5020 daripada 3.4944/4988 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.4107/4364 daripada 13.4001/4236 sebelum ini.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.39 daripada 8.37/8.38 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/300.1 daripada 299.8/300.3 minggu lepas. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen