Kerajaan digesa tangguh kenaikan tarif air


SEBUAH badan penyelidik tempatan hari ini menggesa kerajaan menangguhkan kenaikan tarif air kerana ia hanya akan membebankan rakyat.

Institute for Strategic Analysis and Policy Research (Insap) dalam satu kenyataan berkata tarif baharu itu, yang akan dikenakan mulai 1 Februari, tidak tepat pada masanya memandangkan iklim ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.

“Tanggungan kewangan tambahan ini dikenakan di tengah-tengah peningkatan kos baru-baru ini, seperti cukai 10% ke atas Barang Bernilai Rendah dan jangkaan lonjakan bil elektrik.

“Kedua, pengguna bukan domestik telah pun mengalami kenaikan tarif air pada 2022 (peningkatan 20 sen setiap meter padu), yang boleh membawa kepada potensi kesan riak yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi harga pengguna apabila perniagaan mengukur semula perbelanjaan mereka.

“Sebaliknya, utamakan pengurusan air yang cekap (pembaikan kebocoran dan naik taraf paip) menggunakan dana yang diperuntukkan (RM1.1 bilion, Bajet 2024) sebelum kenaikan tarif air,” kata badan pemikir yang bergabung dengan MCA.

Awal minggu ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kenaikan 22 sen bagi setiap meter padu penggunaan yang melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia dan Sabah mulai 1 Februari ini.

SPAN berkata peningkatan itu perlu bagi memastikan firma utiliti boleh terus melabur dalam menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur bagi memastikan bekalan air minuman selamat yang boleh dipercayai. – 18 Januari, 2024.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen