Usah buka ruang maksiat baru


KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Barangkali peribahasa ini sesuai dikaitkan dengan mereka yang sesuka hati mengeluarkan sesuatu tanpa berfikir panjang.

Seharusnya kita sedar, setiap kata yang dilontarkan, lebih-lebih lagi apabila menjadi seseorang tokoh dalam masyarakat, akan memberi kesan sama ada yang baik mahupun sebaliknya.

Apatah lagi kita sebagai seorang Islam yang dikurniakan akal untuk berfikir, sewajarnya berhati-hati dalam menyatakan sesuatu.

Sebagai ingatan, amar makruf ialah menyuruh dan menyeru kepada kebaikan (kepatuhan kepada perintah Allah), manakala nahi mungkar pula ialah mencegah dan melarang daripada perkara kemungkaran (maksiat dan derhaka kepada Allah). Kedua-dua saranan itu perlu kita laksanakan.

Dalam Surah Luqman ayat 17, Allah Subhanahuwataala berfirman (maksudnya):

“Dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

Amar makruf dan nahi mungkar merupakan dua perkara yang mempunyai maksud yang berlawanan.

Amar makruf bererti mengajak dan menyeru manusia untuk melakukan hal kebaikan yang dianjurkan oleh agama. Ia mempunyai pengertian yang amat luas sehingga mencakupi apa-apa perjuangan dan perbuatan yang menjurus ke arah kebaikan dan kesejahteraan umat sejagat.

Sebaliknya, nahi mungkar membawa maksud mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar atau yang ditegah oleh agama Islam.

Tuntutan kepada amar makruf dan nahi mungkar merupakan tuntutan utama dalam ajaran agama Islam, selain daripada menjaga hubungan sesama manusia. Allah Subhanahuwataala menegaskan melalui firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 110 (maksudnya):

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Bertentangan prinsip Islam

Baru-baru ini, seorang pelakon, penerbit dan usahawan mencetuskan isu hangat apabila mengemukakan cadangan peribadinya agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini.

Ia berpandangan demikian berdasarkan jumlah pekerja dan pendatang asing yang dilihatnya semakin membanjiri Malaysia sejak kebelakangan ini dan kononnya bagi mengurangkan kes rogol. Hakikatnya, apa yang diperkatakannya itu adalah dua isu yang berbeza hingga membuka ruang kemaksiatan kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia, bahkan sesuatu yang mungkar.

Respons tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan cadangan yang diberikan pelakon tersebut bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah selain jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam serta maqasid syariah.

Cadangan tersebut mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.

Beliau berkata pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574). Antara peruntukan berkaitan kesalahan pelacuran adalah mengikut Seksyen 372, Seksyen 372A, Seksyen 372B dan Seksyen 373.

“Di samping Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran, antaranya Subseksyen 21 – pelacuran; Seksyen 22 dan Seksyen 23,” ujarnya.

Tegasnya lagi, pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.

Jenayah yang amat jelik

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata zina adalah satu jenayah yang amat jelik kerana boleh mengakibatkan kerosakan yang besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Malah pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan hina itu. Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini,” jelasnya.

Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (Ilman) Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib ketika ditanya mengenai isu yang tular ini berkata bahawa cadangan pelakon tersebut agak keterlaluan.

“Persoalannya, adakah jenayah rogol berlaku disebabkan tiada tempat pelacuran?”

Soalnya dengan tegas lagi, adakah pelakon itu pasti, dengan mewujudkan tempat pelacuran secara sah, jenayah rogol akan kurang berlaku?

“Tak kena gaya, pandangannya merepek sungguh,” katanya.

Malaysia punya undang-undang

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil juga menolak cadangan itu.

“Apa-apa pun kena ikut undang-undang. Malaysia tidak benarkan rumah pelacuran. Undang-undang kita gariskan, di Malaysia tidak dibenarkan rumah pelacuran,” tegas Fahmi.

Mewujudkan rumah pelacuran di negara ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaannya.

Justeru, pekerja asing yang bekerja di negara ini perlu diberitahu tentang perkara ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan serta undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki.

Berhati-hati ungkap pandangan

Setiap kita sebagai anggota masyarakat perlulah melaksanakan peranan membanteras kemaksiatan, bukan mencadangkan sesuatu yang memudahkan orang lain melakukan maksiat. Hakikatnya, ia bukanlah menyelesaikan masalah tetapi memberi ruang timbulnya masalah yang baharu.

Apabila sudah menjadi seseorang tokoh, kita sangat perlu berhati-hati dalam mengungkapkan sesuatu pandangan, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan sesuatu yang negatif hingga menampakkan diri tidak cerdik.

Sesiapa pun wajar mengambil pengajaran agar isu sedemikian tidak berulang lagi. Tidak terkecuali, pekerja asing perlu diingatkan tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas masyarakat serta negara. – 11 Januari, 2023.

* Atriza Umar adalah pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen