Melayu mahu apa?


KITA acap kali mendengar ungkapan Melayu malas yang diucapkan oleh ramai orang sebagai satu stereotaip kepada bangsa Melayu. Bukan sahaja ungkapan itu menjadi peluru bangsa lain ketika ingin mencemuh, bahkan bekas perdana menteri kita adalah pelopor kepada ungkapan itu.

Baru-baru ini gempar pula dengan kenyataan khabarnya ibubapa golongan berada menghantar anak mereka masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana mahu anak mereka belajar hidup susah. Pandangan ini ekoran perebutan tempat antara anak golongan B40 dengan anak golongan kaya raya yang akhirnya menyebabkan anak golongan B40 ini keciciran disebabkan perlumbaan yang tidak adil.

MRSM adalah tempat yang ditubuhkan bagi membantu anak-anak Melayu cemerlang dari B40 untuk mendapatkan pelajaran yang lebih baik bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sememangnya ditubuhkan khusus untuk membantu orang Melayu.

Akan tetapi ada orang Melayu yang kaya sanggup menipu dan mencuri tempat ini daripada anak-anak Melayu miskin demi kepentingan mereka.

Pemimpin politik terutamanya yang berpegang pada ideologi nasionalisme sering kali melaungkan ungkapan “Melayu Bangkit” dan sering berhujah dengan kata-kata semangat untuk mengajak golongan Melayu bangkit seakan-akan Melayu di negara ini ditindas teruk. Ideologi “Melayu” dan “Islam” ini adalah idea yang paling laku dijual oleh politikus untuk mendapatkan sokongan dari orang ramai.

Malaysia majoritinya terdiri dari bangsa Melayu. Agama rasmi negara ini adalah Islam yang dianuti oleh orang Melayu. Raja-raja yang bersemayam di atas takhta juga Melayu. Perdana Menteri kita juga Melayu. Di dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub hak-hak keistimewaan Melayu dan martabat kedudukan raja-raja Melayu serta agama Islam yang tidak boleh disanggah lagi.

Pendek kata kiri dan kanan, hak dan keistimewaan Melayu ini telah dipasakkan ke bumi Malaysia ini. Namun mengapa masih ada yang berkata-kata seolah-olah Melayu ini ditindas?

Melayu pemalas?

Mari kita kembali ke kenyataan bekas perdana menteri Malaysia yang menyatakan Melayu itu bangsa yang malas. Ramai yang tersinggung bahkan ramai pula yang menyerang beliau dengan mengungkit kisah anak-pinak beliau yang kaya-raya.

Di Malaysia ramai Melayu yang berstatus elit. Saya selalu tertanya-tanya adakah mereka ini Melayu dan mengaku mereka Melayu? Sebab ada antara mereka tidak pandai berbahasa Melayu. Status elit ada yang diwarisi dan ada juga yang hadir kerana hasil usaha titik peluh ketua keluarga.

Yang mewarisi status elit itu saya tak mahu bahaskan, tapi yang menjadi elit kerana kerja keras ini, adakah masih tidak cukup menggambarkan bahawa Melayu itu tidak malas? Berapa ramai usahawan jutawan kosmetik khususnya dari sebuah negeri di Pantai Timur berjaya menjadi elitis hasil dari kerja keras mereka. Ya, walaupun menjual kosmetik timbang kilo namun ia pasti bermula dari satu titik yang bawah, bukan?

Berapa ramai anak muda kota yang melakukan dua tiga kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga di ibu kota ini? Mereka bukan elitis tapi adakah itu tidak cukup menghapuskan stereotaip Melayu pemalas?

Melayu bangkit?

Sekali lagi persoalan yang selalu bermain di minda saya ialah adakah Melayu ini bangsa yang tertindas? Jika benar apakah buktinya? Adakah dengan meruntuhkan rumah di kawasan-kawasan setinggan itu bukti Melayu ditindas? Atau ditipu oleh ejen skim cepat kaya dan scammer bukti Melayu ditindas?

Ungkapan Melayu ditindas ini sering meletakkan sang penguasa di dalam dilema – sama ada ingin menjalankan amanah yang telah diberi atau empati dengan nasib bangsa sendiri.

Cuba kita lihat kalau ada gerai-gerai tepi jalan yang disita oleh PBT, pasti akan ada suara-suara kecil merintih “inilah dia kalau Melayu nak berniaga mesti kena kacau”.  Tapi itulah, Melayu berniaga tanpa lesen. Melayu berniaga di kawasan tidak boleh berniaga.

Kembali kita ke kisah MRSM tadi, Melayu juga yang mencuri hak Melayu lain. Jadi, adakah Melayu ditindas? Ya ditindas. Tapi oleh bangsa sendiri dan keegoan sendiri bagi saya.

Melayu di Malaysia ini datangnya dari pelbagai susur galur. Ada yang dari Sulawesi. Ada yang dari Palembang dan Tanah Jawa. Ada yang dari Riau. Ada yang dari Patani. Ada juga dari Champa. Keturunan kita yang terdahulu hadir sebagai peneroka di tanah ini. Tanah ini bukan tidak bertuan. Namun tuan tanah ini, pada zaman kini seperti melukut di tepian gantang.

Berapa banyak tanah masyarakat Orang Asli yang masih gagal diwartakan bahkan saban hari ukurannya semakin mengecil akibat kerakusan pihak yang taksub dengan pembangunan. Berapa banyak hutan dan sumber asli alam yang menjadi nadi masyarakat Orang Asli musnah akibat ketamakan kita?

Jika ingin kita bahaskan sebagai penindasan, apa yang dialami oleh masyarakat Orang Asli ini adalah penindasan.

Perjuangan Melayu dan Islam di Malaysia

Pada zaman dahulu saya akui bahawa perjuangan perwira kita demi menegakkan hak bangsa dan memelihara maruah agama adalah perjuangan yang suci yang membawa kita kini ke sebuah negara yang merdeka. Namun kini, dalam suasana yang muhibbah, dengan seperti yang saya katakan tadi terpasaknya hak-hak istimewa orang Melayu dan agama Islam melalui Perlembagaan Persekutuan di tanah ini, apakah lagi yang perlu diperjuangkan oleh kita, bangsa Melayu moden?

Saya rasa tidak keterlaluan laungan perjuangan Melayu dan agama Islam ini hanya retorik dan sembang orang lelaki Melayu Alpha sahaja, yang merasa hebat dan gagah seperti jalak lenteng tika berdebat dan berbahas tapi akhirnya meletakkan tugas mendidik anak-anak, pewaris generasi mereka di bahu kaum hawa yang tinggal di rumah. Berapa ramai lelaki Melayu jalak lenteng ini yang setiap malam solat berjemaah bersama keluarga dan duduk mengajar anak-anak mengenali alif ba ta? Jauh sekali mengajar anak-anak membaca al Quran.

Bahkan saya jamin ada di antara lelaki ini yang sebenarnya tidak pasti dan tidak peka dengan perkembangan anak-anak mereka. Mereka seakan-akan lupa anak-anak ini adalah anak bangsa juga. Mendidik anak-anak ini juga adalah satu perjuangan untuk memastikan kesaktian dan kecemerlangan bangsa Melayu dan kesucian Islam terjaga.

Survival Melayu

Walaupun Melayu majoriti di dalam negara ini, dakyah-dakyah yang saya katakan tadi secara halus menampakkan seolah-olah Melayu ini bangsa lemah. Sudahlah Melayu di dalam negara ini peroleh pelbagai keistimewaan dari lahir sehingga tamat usia, masih lagi kita mahu menjerit-jerit seperti kitalah yang tertindas? Adakah bangsa kita ini tidak mampu bersaing dengan bangsa lain? Bukankah kita bangsa nusantara terhebat?

Oleh yang demikian saya rasa sudah-sudahlah kita menilai seseorang itu melalui bangsa dan sudah tiba kita menilai mereka sebagai satu insan. Adakah insan ini mampu bersaing bersama-sama insan lain di dalam negara ini? Kerana apabila kita tetap menilai diri kita melalui bangsa maka sentiasalah kita akan terperuk dalam kepompong stereotaip Melayu seperti yang saya bahaskan tadi.

Saya bukan ahli pengkaji bangsa apa lagi ahli pemikir, namun apa yang saya lontarkan ini adalah melalui pengamatan saya. Dunia semakin maju dan moden. Apabila kita terikat dengan stereotaip begini, maka ia memberi peluang kepada orang lain untuk mempergunakan kita dan mengambil kesempatan ke atas kita. 

Itulah yang terjadi di dalam negara ini apabila Melayu dan Islam menjadi bahan tunggangan politikus untuk mendapatkan kuasa. Jika kita tidak ada sedikit perasaan bahawasanya kita ini bangsa yang tercorot dan tercicir, maka kita pastinya boleh bersifat rasional dan boleh melangkah maju lagi menjadi bangsa yang gagah.

Cuba kita lihat bangsa Cina dan India di dalam negara ini. Mereka berpijak di tanah ini tanpa sebarang keistimewaan namun tetap melangkah maju bahkan kemajuan mereka dicemburui pula oleh kita, bangsa Melayu.

Melayu boleh pergi jauh jika kita ketepikan sentimen retorik ini. Melayu juga boleh maju dah gagah di mata dunia jika kita berhenti mencuri hak sesama kita dan bersaing dengan sihat dengan seteru yang setara.

Takkan Melayu hilang di dunia. Begitu yakinnya Hang Tuah pada bangsa dia sendiri. Namun adakah sekelumit rasa bangga di dalam dirinya bila dia tahu bangsa Melayu kini bersikap manja dan retorik? – 9 Januari, 2024.

 

* Noor Suhana Ishak, penulis bebas.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen