Sarawak guru politik baharu Malaysia?


G Manimaran

Sehingga kini Sarawak kekal sebagai deposit undi dan sokongan bagi kesemua parti atau gabungan yang berhasrat untuk membentuk kerajaan pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

BUKU terkini “Menjuarai Pilihan Raya: Magis Kepimpinan Adenan Satem”, karya saya bersama Prof Dr Syed Arabi Idid, yang memfokus formula kepimpinan dalam memenangi pilihan raya sudah memasuki pasaran.

Buku ini membawa kepada kita pendekatan Ketua Menteri (kini Premier) Sarawak Allahyarham Adenan Satem dalam memikat pengundi ketika mengetuai Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak tahun 2016.

Dalam tempoh yang singkat beliau telah menghimpunkan kekuatan tersendiri menjelang pilihan raya negeri, sekali gus membawa kemenangan besar bagi Barisan Nasional (BN). Beliau merupakan pemimpin kelima menyandang jawatan itu, dari Mac 2014 hingga Januari 2017.

Sehingga kini Sarawak kekal sebagai deposit undi dan sokongan bagi kesemua parti atau gabungan yang berhasrat untuk membentuk kerajaan pusat.

Sabah disebut-sebut bakal mengadakan pilihan raya negeri mengejut pertengahan tahun ini dan munculnya laporan bahawa ia sedang berhadapan dengan konflik dalaman parti politik, kali kedua dalam setahun.

Sarawak, di bawah kepimpinan Premier Abang Johari Tun Openg, pula dengan senyap sudah mula mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya negeri yang seterusnya, yang dijadual akan diadakan pada 2026 atau kemungkinan lebih awal jika memerlukan untuk dipanggil.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan bergegas ke Sabah untuk meredakan keadaan dalaman partinya yang membentuk bersama kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri September 2020. Beliau dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin hari ini.

Di atas kertas percaturan politik Sarawak dilihat lebih stabil untuk menang dengan bergaya dan selesa berbanding kes di Semenanjung dan Sabah.

Pemimpin parti politik juga kelihatan lebih tenang untuk menghadapi saingan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Beberapa perkembangan sejak kebelakangan ini mempamerkan kelebihan di pihak kepimpinan kerajaan negeri Sarawak yang tidak pernah berubah tangan. Wajah-wajah yang menerajui kuasa kerajaan kekal sama.

Daripada era Perikatan sehingga kini. Meskipun BN sudah hilang daripada peta politik di Sarawak apabila kesemua anggota komponennya memutuskan untuk keluar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) enam tahun lalu, kuasa masih dipegang oleh kumpulan ahli politik yang sama.

Dua minggu lalu Abang Johari mengumumkan Sarawak merekodkan pendapatan mencecah RM13.1 bilion pada 2023, angka tertinggi yang pernah dicapai.

“Pendapatan kita mencecah angka RM13.1 bilion kerana kita mendapat dividen pada bulan Disember dan ini adalah satu rekod dari segi pendapatan kita. Memandangkan kerajaan negeri meneruskan langkah untuk menjana lebih banyak hasil dan pengenalan pelbagai undang-undang bagi tujuan itu baru-baru ini, terdapat kemungkinan pendapatan kita akan terus menyaksikan peningkatan.”

Beliau seterusnya memberitahu: “Diharapkan pada 2024 (tahun ini) dan 2025 (iaitu dua tahun sebelum pilihan raya negeri), kita akan menyaksikan peningkatan (dalam pendapatan).” Sarawak merekodkan pendapatan RM11.9 bilion pada tahun 2022.

Keduanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima bayaran RM90.42 juta daripada kerajaan Sarawak setakat ini untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 30% hutang peminjam badan itu dalam kalangan anak Sarawak.

Bersandarkan kepada laporan media, Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim dipetik berkata jumlah itu diperoleh sejak PTPTN dan Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak pada 5 Mac 2021.

Pokoknya ia satu perkembangan menarik daripada sudut politik. Satu magis yang mampu menerima sokongan pengundi terutama golongan muda yang bakal menentukan kuasa politik. Ia telah disaksikan sejak satu tahun lalu, dan ia dijadikan modal pengajaran yang amat berguna buat Sarawak. Modal politik untuk kekal berkuasa.

Tiga bulan lalu Abang Johari juga mengumumkan pihaknya akan menyediakan pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak untuk anak jati negeri itu, dan ia dijangka dapat dilaksanakan pada 2026.

Beliau berkata unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

“Saya boleh katakan 2026 (untuk menyediakan pendidikan universiti percuma) sebab saya telah congak-congak kekuatan ekonomi kita akan lebih kuat pada 2026. Kalau 2022 pendapatan negeri dah bertambah hingga (RM)12 bilion, pengiraan (saya) tahun ini kemungkinan kita memecahkan rekod (pendapatan) 2022,” kata beliau.

Semasa PRU15, pengundi muda, antara umur 18 dan 39 tahun, merangkumi 49 peratus atau separuh daripada jumlah pengundi Sarawak.

Walaupun ia merupakan kedudukan empat tertinggi dari bawah, tetapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah sudah mengambil langkah strategik untuk menawan pengundi-pengundi muda yang akan menjadi hampir 60% dalam PRU16, atau mungkin kurang sedikit bagi Sarawak tetapi satu kekuatan yang amat signifikan, apabila memasuki tahun 2026 untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Proses kajian persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sarawak telah bermula tahun lepas, dan dijangka siap awal tahun depan, sebelum diguna pakai dalam pilihan raya negeri akan datang.

Pada masa sekarang terdapat 82 kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan cadangan mengenai urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Abang Johari, juga presidennya berkata, partinya mempunyai jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab untuk melihat isu persempadanan semula.

Dalam PRUl2 yang berlangsung pada Disember 2021, GPS memperoleh 75 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) empat kerusi manakala DAP dua. Ia kemenangan amat selesa bagi GPS.

Ketika fokus sebahagian daripada kita terarah kepada laporan dan cakap-cakap mengenai langkah itu dan langkah ini, termasuk Langkah Dubai sekarang, dan krisis politik di Sabah yang mula memanaskan arena politik kebangsaan, Sarawak sudah mengambil langkah memantapkan kedudukan politik, sekali gus untuk menghadapi pilihan raya, kedua-dua peringkat parlimen dan negeri yang seterusnya, dengan gaya tersendiri.

Saya percaya rakyat memerlukan pendekatan membina yang boleh memakmurkan rakyat dan negara secara keseluruhannya. Rakyat tidak mahu politik angka yang membosankan, dan politiking melampau yang tidak akan menguntungkan rakyat kecuali parti dan ahli politik sendiri.

Sarawak bakal menjadi model politik membina lagi signifikan di Malaysia. Hala tuju itu sudah mula kelihatan. Pastinya ia akan bertapak dalam beberapa tahun akan datang.

Kita perlu memandang ke timur - Sarawak - untuk melihat pendekatan politik baharu bagi Malaysia. Premier kelima dan keenam telah mula meletakkan asas kukuh ke arah itu. Akan ada lebih banyak kejutan selepas ini. Jangan terkejut.

Saya harus memetik satu kenyataan Abang Johari pada September lalu. Kata beliau, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meminta beliau supaya memberi taklimat kepada para ketua menteri dan menteri besar negeri lain, termasuk ahli-ahli parlimen berhubung ekonomi baharu Sarawak.

Malah katanya, taklimat yang sama telah diminta diberikkan kepada Jemaah Menteri tentang pembangunan ekonomi Sarawak kebelakangan ini. “Kini, mereka mengikut kita, (bukan lagi Sarawak jadi pengikut). Kita sangat terharu.”

Malah, kata Abang Johari, beliau memberitahu perdana menteri bahawa semua orang bekerjasama di Sarawak, sambil menambah kemakmuran negeri bermakna Malaysia secara keseluruhannya bertambah makmur.

Kenyataan Abang Johari itu membawa mesej yang mendalam untuk arena politik negara dan juga aktor-aktor politik. Sarawak sedang menyediakan formula dan magis untuk menjuarai pilihan raya. – 8 Januari, 2024.

*Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir*

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen