Baram perlu jalan berturap, kata aktivis


Desmond Davidson

Sejak bertahun lamanya penduduk di Baram memohon kerajaan membina jalan berturap di kawasan pedalaman Sarawak itu, menurut kumpulan aktivis alam sekitar Save Rivers. – Gambar AFP, 7 Januari, 2024.

KUMPULAN aktivis alam sekitar Save Rivers berharap jalan berturap dapat dibina bagi menyambungkan Miri, Limbang dan Lawas di bahagian utara Sarawak ke kawasan pedalaman Baram.

Pengarah urusannya Celine Lim berkata penduduk di Baram sejak bertahun-tahun lamanya telah memohon kerajaan membina jalan berturap di kawasan berkenaan.

Beliau berkata jalan berturap amat penting supaya perkhidmatan kesihatan dan pendidikan dapat dipertingkatkan serta banyak lagi kemudahan asas lain disampaikan kepada penduduk.

“Kita hendak bercakap tentang peralihan tenaga sedangkan majoriti masyarakat pedalaman masih tidak mendapat akses kepada kemudahan asas,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada matlamat kerajaan negeri untuk mengurangkan pelepasan karbon sekurang-kurangnya 45%, meningkatkan peluang pekerjaan hijau,memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana dan melengkapkan Sarawak dengan infrastruktur mampan menjelang 2030.

Lim berkata, sasaran Save Rivers adalah untuk memperoleh lebih banyak sokongan juga kesedaran masyarakat terhadap kemampanan dan perubahan iklim serta hak-hak orang asal.

Kumpulan itu juga katanya mengggesa supaya pendekatan bukan pasaran terhadap pengurangan/penyesuaian iklim diberi penekanan seimbang.

“Undang-undang dan dasar bagi melindungi hak orang asal, yang dinyatakan dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak-hak Orang-Orang Asal, yang ditandatangani Malaysia, mesti dikaji semula, diperbaharui dan disokong dengan iltizam politik yang kuat untuk melindungi hak mereka dengan berkesan,” kata Lim. – 7 Januari, 2024.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen