Persepsi dan mahkamah


SEJAK seminggu yang lepas makin hangat persepsi direka bahawa jerung-jerung berpangkat Tun serta bekas-bekas kenamaan yang dikatakan akan disiasat dan berada dalam radar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam negara.

Sebenarnya persepsi dan pembinaan naratif ini bukan perkara baharu.

Malah tidak keterlaluan jika disingkap sejarahnya kita akan dapati terma-terma seperti nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa ini wujud dalam sejarah hitam negara bermula tahun 1998.

Persepsi bukan keterangan. Persepsi bukan bukti. Malah persepsi tiada nilai dalam Mahkamah.

Isu berkenaan kononnya Dr Mahathir Mohamad menyalahguna jawatan serta memperkaya dirinya serta anak-anak beliau ini bukan perkara asing.

Ia sudah disemai dan disuburkan pertumbuhannya selari dengan pembenihan gerakan reformasi dan penubuhan PKR lagi.

Dari 1998 sehingga sekarang 2023 hampir suku abad lamanya negara telah melalui lima perdana menteri dan pelbagai peguam negara serta bersilih ganti ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM.

Sehingga kini tiada satupun pertuduhan atau sabitan dikenakan terhadap Dr Mahathir.

Fakta, bukan persepsi, juga menunjukkan dari tahun 2003 sehingga 2018 negara telah mempunyai dua orang perdana menteri dan pelbagai persepsi tetapi tiada pertuduhan.

Malah Dr Mahathir pula yang ditagih oleh Pakatan Harapan (yang berada dalam kerajaan hari ini) untuk menewaskan Barisan Nasional pada PRU ke-14.

Pelik tetapi pada waktu itu tidak pula timbul isu jerung-jerung dan golongan maha kaya.

Mungkin kerana ia jalan mudah ke Putrajaya dan kerusi empuk menteri-menteri yang tidak pernah disangka mereka.

Selepas Langkah Sheraton ada pula lagi dua orang perdana menteri. Lagi sekali tiada apa-apa pertuduhan mahupun sabitan. Jauh sekali persepsi.

Apabila hak kelahiran PMX tercapai selepas PRU ke-15, tiba-tiba persepsi dan naratif ini timbul lagi sekali.

Maka mulalah jentera dan aparat propaganda kerajaan melabel macam-macam seolah-olah 1998 itu wujud kembali.

Tetapi kali ini Dr Mahathir tidak senyap. Saman fitnah difailkan. Kalau betul sakau bilion-bilion dan kayakan diri serta anak-anak, sila buktikan. Bawa kotak-kotak dan transaksi. Lawan di Mahkamah.

Peliknya kini masih persepsi. Di manakah bukti?

Mengapakah persepsi dan naratif ini masih dimainkan atas pentas politik Madani? Bukankah mahkamah forum terbaik?

Mengapa tidak gunakan mahkamah? Atau adakah selama ini hanya persepsi tanpa bukti?

Kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman harus dipercayai. Kalau tidak hanyutlah dalam persepsi dan naratif syok sendiri demi kepuasan penyokong parti.

Sesungguhnya persepsi bukan bukti. Dan sehingga hari ini manakah bukti? – 5 Januari, 2024.

* Rafique Rashid, peguambela.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen