Lembaran baharu industri elektrik Sabah


KHAMIS lalu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melancarkan buku yang penting dan signifikan dalam meneroka masa depan yang sangat mencabar, tetapi amat meyakinkan bagi setiap pemegang taruh syarikat ini, terutama pengguna yang mengharapkan bekalan elektrik yang ‘reliable’ setiap masa.

Saya secara peribadi amat yakin dengan keupayaan dan kebolehan SESB dalam perkara ini. SESB berada di landasan yang cukup membina dan positif dalam memenuhi keperluan pengguna setiap lapisan.

Ada dua perkara yang menunjukkan buku yang dilancarkan itu signifikan kepada SESB dan juga industri bekalan elektrik di Sabah secara keseluruhan.

Pertamanya, pada tahun ini, SESB menyambut ulang tahun ke-25 sejak dibentuk di bawah dasar penswastaan negara. Minggu depan, pada 3 Januari pula Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengadakan sidang khas bagi membahaskan keputusan menyerahkan kembali kuasa selia sektor bekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Dua rang undang-undang (RUU) iaitu Enakmen Bekalan Elektrik Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah, serta RUU pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 (kemasukan fungsi kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui) akan dibentangkan semasa sidang khas itu.

Oleh itu, saya yakin buku berjudul The SESB Story atau Kisah SESB ini menyajikan satu gambaran holistik mengenai perjalanan berliku sebuah entiti utiliti tenaga elektrik di Sabah, yang ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah Ordinan yang diluluskan oleh DUN iaitu Lembaga Letrik Sabah (LLS), yang memainkan peranan dan fungsi yang agak unik di bawah bidang kuasa kerajaan Sabah sebelum ia diserahkan kepada pusat pada tahun 1984.

Meskipun hal ehwal elektrik sepatutnya berada dalam senarai persekutuan dalam Perlembagaan, namun selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, sektor ini kekal berada di bawah urus tadbir kerajaan Sabah selama 29 tahun, sehingga akhirnya diserahkan kepada kerajaan Persekutuan pada tahun 1983.

Kenapa diserahkan kepada kerajaan Persekutuan? Persoalan ini masih belum ada jawapan konkrit sehingga kini.

Sepanjang tempoh dua dekad itu, lipatan sejarah menjadi bukti kepada siri ujian, cabaran dan isu sebenar yang dilalui oleh kita dalam soal sama ada kita dapat membangunkan dan mampu menikmati bekalan elektrik berkualiti di Sabah.

Pada tahun 1982, disebabkan oleh kekangan sumber kewangan dan keperluan untuk merancakkan pembangunan sektor bekalan elektrik sejajar dengan kemajuan di wilayah lain di Malaysia, kerajaan Sabah meminta kerajaan Persekutuan supaya mengambil balik kuasa kawal selia sektor bekalan elektrik.

Cadangan itu berkuat kuasa pada 1 Januari 1984 menerusi penggubalan Akta Lembaga Letrik Sabah (LLS) sekali gus LLS menjadi sebuah agensi persekutuan.

Tidak dapat dinafikan peralihan autoriti membawa sedikit kemajuan. Bagaimanapun, siri ujian, cabaran dan isu berterusan sehingga membawa kepada keputusan pusat menswastakan LLS pada September 1998 menjadi SESB.

Satu perkembangan susulan Lembaga Letrik Negara (LLN) diswastakan menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB). LLS dikenali sebagai SESB hingga ke hari ini. SESB sudah berumur 25 tahun pada hari ini.

Menjelang sidang khas DUN Rabu ini, pada 22 Disember lalu, kerajaan Persekutuan sekali lagi menurunkan kuasa terhadap hal ehwal elektrik dengan menggunakan peruntukan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan melalui satu perintah Yang di-Pertuan Agong melalui satu warta.

Dengan warta itu, maka Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 (Akta 725), dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726), digantung kuat kuasanya di Sabah. Selepas empat dekad, kuasa tatakelola bekalan elektrik akan dikembalikan kepada Sabah.

Langkah menurunkan kembali kuasa kawal selia itu sememangnya satu sejarah. Bagi rakyat Sabah, sejarah berulang kembali.

Pun begitu, dalam erti kata yang sebenar dan lebih luas, kita mempunyai cabaran besar untuk menjayakan sasaran selepas kembalinya kuasa tatakelola elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Sama ada kita akan berjaya atau sebaliknya, bergantung kepada 100 peratus berada di tangan kerajaan Sabah dan juga di tangan rakyat Sabah.

Kita perlu melihat apakah mekanisme yang terbaik, model dan formula terbaik yang perlu dan boleh dilaksanakan untuk Sabah. Kita ada model tatakelola elektrik di Semenanjung dan satu lagi model tatakelola di Sarawak.

Selepas ini, Sabah akan bertanggungjawab sepenuhnya, sekali lagi dan tidak boleh menuding jari ke arah mana-mana pihak.

Bercerita mengenai SESB, harus diingat ia hanyalah sebuah badan korporat yang terbabit dalam perniagaan bekalan elektrik. SESB tidak ada kuasa dalam apa bentuk pun.

SESB cumalah sebuah entiti perniagaan yang dikawal selia oleh regulator iaitu Suruhanjaya Tenaga Sabah (Ecos).

Dengan kata lain, SESB adalah entiti yang dipacu sepenuhnya oleh kepentingan perniagaan. Oleh itu, SESB demi kelestarian kewangan, harus berdiri di atas kaki sendiri tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan.

Ke arah matlamat ini, kerajaan komited melaksanakan tujuh tahun Transformasi SESB. Setibanya tahun 2030 kewangan SESB adalah lestari tanpa subsidi sokongan tarif (TSS).

Perlu diakui dalam tempoh 25 tahun penswastaan SESB, banyak kemajuan dicapai terutama sekali dalam pembinaan grid penghantaran dan pengagihan.

Kini, kecuali Ranau, Telupid dan Tongod, semua pekan dan bandar di Sabah sudah pun disambung ke sistem grid. Namun demikian, SESB masih berdepan dengan pelbagai cabaran baharu dalam menguruskan sektor bekalan elektrik di Sabah.

Dalam memenuhi fungsi dan objektif bisnes SESB, terdapat lima cabaran utama pada hari ini.

Pertamanya, cabaran yang paling kritikal adalah aspek kelestarian kewangan. Sehingga kini, SESB, syarikat yang sahamnya 80 peratus milik TNB dan baki 20 peratus oleh kerajaan negeri Sabah, masih lagi bergantung dengan TSS daripada kerajaan Persekutuan untuk kekalkan tarif di bawah kos penjanaan dan penghantaran bekalan elektrik.

Pada tahun 2022 sahaja TSS mencecah RM862 juta. Satu jumlah yang cukup besar, sekali gus menunjukkan kita perlu mengambil tindakan proaktif dan strategik dengan segera dan secara konstruktif untuk memastikan setiap pelosok negeri Sabah dibekalkan tenaga elektrik secara konsisten, berkualiti tinggi dan lestari.

Pada hari ini, SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan (yang majoritinya dibeli daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) – iaitu 43.83 sen/kWj.

Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual. Tentunya, subsidi bukanlah penyelesaian yang mampan. Tanpa TSS dan sebagai sebuah perniagaan, SESB adalah ‘technically insolvent’.

Keduanya, kelestarian sumber tenaga SESB. Demi kelestarian sektor tenaga elektrik di Sabah.

Untuk tujuan ini, adalah kritikal bagi SESB untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri, sekurang-kurangnya beban utama ataupun base load yang dijana dan dimiliki sendiri oleh SESB sebanyak 700 MW.

Ketiganya, cabaran strategik utama dalam memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap ke semua kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Namun demikian, terdapat daerah utama daripada sudut sosioekonomi seperti Ranau dan Telupid yang masih belum disambungkan ke Grid Sabah. Hal ini memberi implikasi yang besar kepada penyaluran dan penyediaan bekalan elektrik ke kawasan terbabit. Cabaran ini juga merupakan satu keutamaan bagi SESB.

Keempatnya, SESB sedang bekerja keras untuk menangani margin rizab yang pada masa sekarang dalam lingkungan 12 peratus.

Kedudukan ini tidak mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya dalam menetapkan amalan utiliti berhemat. Kapasiti rizab yang terhad menyebabkan bekalan kuasa terdedah kepada ketegangan atau gangguan bekalan semasa waktu puncak atau gangguan yang tidak dijangka.

Hal ini berpotensi mengakibatkan ketiadaan bekalan elektrik, yang merupakan satu keadaan yang sukar dan tidak diingini oleh pengguna. Sebagai entiti utiliti elektrik yang utama di Sabah, SESB mempunyai tanggungjawab dalam memastikan integriti bekalan elektrik kukuh sepanjang masa.

Kelimanya, cabaran mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI). Nilai SAIDI pada masa sekarang adalah sekitar 274.43 minit berbanding 4,109 minit pada tahun 2005, 424 minit (tahun 2013) dan 302 minit (tahun 2022).

Banyak kemajuan dicapai dalam soal nilai SAIDI, tetapi SESB bekerja keras untuk terus mengurangkannya. Bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah, SESB menyasarkan untuk mengurangkan SAIDI sehingga 100 minit menjelang tahun 2030.

Jurang antara angka ini memerlukan persoalan introspektif iaitu bagaimana SESB boleh mengukuhkan rangka kerja dalaman bagi mengekalkan sumber tenaga yang lancar dan berdaya harap. Jawapannya terletak pada potensi bekalan tenaga kerja dan sumber yang belum diterokai dalam menjana operasi SESB.

Laluan seterusnya adalah mencabar. Tetapi SESB beriltizam untuk mengatasi cabaran ini dan memastikan masa depan tenaga yang cerah dan mampan untuk Sabah. Sehubungan itu, bagi membolehkan SESB membentuk dasar tenaga yang memenuhi keperluan dan aspirasi Sabah, SESB komited dalam memastikan sumber tenaga yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat Sabah.

Kepentingan pengguna adalah keutamaan SESB iaitu menyediakan bekalan elektrik yang berkualiti tinggi dan berdaya harap.

SESB akan terus melabur, hampir RM5 bilion sepanjang 10 tahun akan datang, bagi menyediakan infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik bertaraf dunia demi satu objektif utama – menjamin sekuriti tenaga elektrik, pada kos efektif dan mampu dimiliki oleh semua.

SESB ada siri cabaran. SESB juga ada kekangan. SESB perlu dengan pantas memenuhi objektif fungsinya sebagai entiti bekalan elektrik di Sabah.

SESB ada solusi dan penyelesaian.

Pokoknya, SESB tidak boleh melakukannya dengan sendiri. SESB memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak, antaranya agensi kawal selia, Suruhanjaya Tenaga Sabah atau ECoS, Suruhanjaya Tenaga Malaysia, kementerian berkaitan di peringkat negeri dan pusat, IPP dan orang ramai selaku pengguna setia SESB.

Untuk melihat landskap bekalan elektrik yang berintegriti serta berwibawa dan demi negeri Sabah yang maju, kita perlu berganding untuk bergerak bersama SESB. Ini termasuklah sistem yang utuh dan governans yang padu.

Selaku Pengerusi SESB, rakyat Sabah yang diberikan amanah untuk menerajui SESB, saya yakin sidang khas pada 3 Januari 2024 ini akan memberikan sinaran kepada SESB untuk terus menyinari Sabah dengan lebih kukuh.

Saya dan SESB yakin perbahasan pada Rabu ini akan membawa sumbangan hasil yang lebih membina demi rakyat, pengguna dan negeri Sabah.

Berulangnya sejarah pemilikan autoriti atau kuasa kawal selia, saya yakin akan membawa impak positif besar kepada Sabah.

Jika tanggal 1 Januari 1984 menjadi saksi kuasa kawal selia kembali kepada pusat, kali ini tanggal 3 Januari 2024 merupakan detik penting bagi membahaskan laluan yang lebih membina ke arah bekalan tenaga elektik yang lebih berkualiti bagi masa-masa mendatang.

Sebagai seorang pengguna, wakil rakyat dan pengerusi SESB, saya mengharapkan sesi perbahasan yang bernas demi landskap industri elektrik yang lebih kukuh, berwibawa dan yang mampu memenuhi pembangunan negeri Sabah dan juga negara.

* Wilfred Madius Tangau, Pengerusi SESB dan ahli Parlimen Tuaran.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen