Kerajaan Indonesia pertimbang aspek kemanusiaan kendali pelarian Rohingya


Atas dasar kemanusiaan, Indonesia masih menempatkan pelarian Rohingya buat sementara waktu berdasarkan prinsip non-refoulement yang diiktiraf sebagai undang-undang antarabangsa adat. – Gambar AFP, 30 Disember, 2023.

KETUA Pengarah Hak Asasi Manusia Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dhahana Putra berkata pengendalian pelarian Rohingya di Indonesia perlu mengutamakan aspek kemanusiaan di samping mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.

“Menyaksikan penentangan terhadap pelarian Rohingya maka perlu untuk meningkatkan komunikasi dengan IOM (Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi), UNHCR (Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan negara jiran bagi mengelak timbulnya isu berbangkit dalam masyarakat tempatan khususnya di Aceh,” kata Putra dalam kenyataan pada hari ini, lapor ANTARA.

Beliau berkata kerajaan Indonesia belum meratifikasi Konvensyen Geneva 1951 mengenai pelarian.

Justeru atas dasar kemanusiaan, Indonesia masih menempatkan pelarian Rohingya buat sementara waktu berdasarkan prinsip non-refoulement yang diiktiraf sebagai undang-undang antarabangsa adat.

“Prinsip non-refoulement melarang negara daripada menghantar pulang atau mengusir pelarian ke negara asal atau negara lain yang berpotensi menganiaya atau menyeksa mereka,” kata Putra.

Justeru beliau menegaskan pelarian Rohingya hanya akan tinggal sementara di Aceh.

“Mereka akan berada di sini (di Indonesia) buat sementara waktu sehingga UNHCR menentukan status mereka sebagai pelarian dan akan ditempatkan di negara ketiga atau negara yang menerima pelarian Rohingya,” katanya.

Sepanjang berada di Indonesia, mereka wajib mematuhi undang-undang, peraturan dan nilai-nilai tempatan untuk mengelakkan masalah sosial yang boleh menimbulkan gangguan.

“Kami berharap semua pihak dapat mengelak daripada melakukan sebarang tindakan provokasi yang boleh memburukkan lagi keadaan dalam mengendalikan pelarian berkenaan,” katanya.

Sementara itu kekerasan terhadap pelarian Rohingya menjadi tumpuan antarabangsa. Beberapa organisasi media antarabangsa melaporkan kejadian di Balee Meuseuraya Aceh.

“Kami berharap perkara sebegini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya. – Bernama, 30 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen