Calon naib presiden Indonesia bahas projek pembangunan Nusantara


Projek pembangunan ibu negara Nusantara di Kalimantan Timur, bernilai kira-kira AS$32 bilion dan dijadual siap pada tahun 2045. – Gambar EPA, 24 Disember, 2023.

PROJEK pembangunan ibu negara Nusantara di Kalimantan Timur, bernilai kira-kira AS$32 bilion dan dijadual siap pada tahun 2045 menjadi perbahasan hangat dalam debat calon naib presiden Indonesia 2024 pada Jumaat. 

Calon-calon, Gibran Rakabuming Raka, Mahfud MD dan Muhaimin Iskandar menyuarakan pelbagai pandangan secara mendalam termasuk mengenai bajet dan kepentingan semasa sesi soal jawab.

Mahfud mengutarakan kebimbangan mengenai ketergantungan pemerintah kepada bajet negara, memberi amaran tentang potensi isu pemilikan tanah dan kurangnya penglibatan pelabur swasta dalam pembangunan Nusantara.

“Setakat yang kita tahu sehingga kini tidak ada pelabur yang masuk. Berikan contoh sekiranya ada pelabur,” katanya, yang juga Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan.

Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin menitikberatkan projek infrastruktur berbanding projek cita-cita besar dan mencadangkan peruntukkan perlu disalurkan ke projek pembinaan jalan dan sekolah.

Gibran menekankan pembinaan infrastruktur di Nusantara yang sedang giat dijalankan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan simbol transformasi pembangunan di Indonesia.

Beliau menjelaskan hanya 20 peratus daripada kos pembinaan Nusantara datang daripada bajet negara dan baki datang daripada pelabur seperti konglomerat Mayapada Group dan pemaju hartanah Agung Sedayu Group.

“Lebih banyak pelabur bakal menyertai selepas pilihan raya presiden, bergantung kepada kestabilan politik,” kata Gibran yang juga anak Presiden Joko Widodo.

Gibran, yang masih Datuk Bandar Solo, berjanji melanjutkan program hiliran ke sektor pertanian, perikanan dan digital sekiranya menang pilihan raya nanti.

Gandingan kepada calon Presiden Prabowo Subianto itu mahu pembangunan di luar Pulau Jawa dirancakkan, memacu ekonomi kreatif, SME dan menjadikan Indonesia pusat tenaga hijau dunia dengan pengembangan biodiesel.

Mahfud, yang bergandingan dengan calon presiden iaitu Ganjar Pranowo, bertekad mendaulatkan undang-undang, membanteras rasuah di badan perundangan dan kehakiman serta sektor perlombongan.

Beliau percaya perkara ini dapat memastikan pelaburan dan pembangunan yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang lancar dan dinikmati rakyat. 

Muhaimin mahu menaikkan cukai terhadap golongan kaya sebaliknya menurunkan cukai bagi golongan menengah dan menjadikan bantuan sosial sebagai kewajipan negara.

Pasangan kepada Anies Baswedan, seorang lagi calon presiden, berkata beliau akan menyediakan dana dalam bentuk pinjaman untuk golongan muda berniaga dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan desa. – Bernama, 24 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen