Zunar tidak tahu sebab dilarang masuk ke Sarawak


Desmond Davidson

Kartunis Zunar dihalang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada 9 Disember dan diarah pulang ke Semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2023.

KARTUNIS politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, berkata tidak tahu mengapa beliau tidak dibenarkan memasuki Sarawak awal bulan ini.

Zunar dihalang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada 9 Disember dan diarah pulang ke Semenanjung. 

Beliau diberitahu namanya berada dalam senarai rakyat Malaysia yang dilarang memasuki negeri itu.

Beliau sepatutnya menghadiri bengkel lukisan kartun selama dua hari semasa Festival Hak Asasi Manusia di La Promenade Mall, Samarahan.

“Mereka tidak memberitahu saya (apa sebabnya) ketika itu dan sehingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zunar berkata apabila dinafikan kemasukkannya ke negeri itu, beliau berulang kali bertanyakan alasan.

“Hanya mengikut arahan,” itu sahaja jawapan yang diperolehinya.

Zunar berkata kejadian itu mengejutkan kerana beliau dibenarkan masuk pada 2018.

“Saya cuba memikirkan apa yang saya lakukan yang menyinggung perasaan kerajaan negeri.”

“Saya memberitahu mereka yang saya akan menganjurkan bengkel lukisan kartun selama dua hari. Saya memberitahu mereka (pegawai Imigresen) bahawa kerana ia adalah bengkel saya, tiada siapa boleh menggantikan saya.

“Saya memberitahu mereka bengkel dua hari itu dihadiri pelajar dan amat memalukan jika ia dibatalkan.”

Zunar berkata apabila diminta menunjukkan bukti terdapat bengkel sedemikian, beliau menunjukkan poster festival itu.

Beliau kemudian diberikan pas tiga hari dan diarahkan meninggalkan negeri itu pada 10 Disember.

Zunar berkata beliau bercadang membawa keluarganya ke Sarawak untuk lawatan dua hari selepas bengkel selesai.

“Semuanya rosak,” katanya.

Zunar terbang pulang pada lewat 10 Disember.

Beliau berkata sedang mempertimbangkan untuk menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berhubung larangan masuk itu.

“Adakah saya perlu menulis untuk mendapatkan pengecualian setiap kali ke Sarawak?”

Kerajaan negeri tidak pernah mengulas mengenai apa yang dipanggil “senarai hitam”.

Pada 2016, Zunar ditangkap di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kartun yang didakwa menghina bekas perdana menteri Najib Razak.

Penahanan itu berlaku sehari selepas ahli Umno mengganggu pamerannya di Festival Sastera George Town dan meminta pertunjukan itu dibatalkan, dengan mengatakan bahan kartunis itu berunsur hasutan. – 29 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen