SATIRA bukan satu jenayah, kata kartunis politik Zunar.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan yang diambil terhadap akaun media sosial satira.
“Kerajaan sepatutnya lebih tahu bahawa kita perlu belajar untuk ketawakan diri sendiri.
“Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ini ialah kita suka ketawakan orang lain tetapi tidak mahu diketawakan,” katanya.
Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata terdapat kecenderungan yang semakin meningkat untuk melaporkan kandungan satira dan parodi kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Kita tidak boleh salahkan mereka. Mereka sangat sensitif dengan perkara ini,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa perlu memberikan petunjuk jelas bahawa satira dan parodi tidak boleh diterima mentah-mentah dan mereka tidak akan menyiasat laporan seperti itu.
Parodi dan satira politik merupakan satu bentuk protes, yang mana rakyat menjadikan ketawa untuk melepaskan kekecewaan mereka berbanding turun ke jalan raya, katanya.
Ia juga menjadi jalan kepada rakyat biasa untuk turut serta dalam hal ehwal negara.
“Punca masalahnya adalah kerajaan kini terlalu jauh dengan rakyat. Apabila kerajaan atau perdana menteri umumkan sesuatu sebagai contoh Belanjawan atau apa-apa dasar melibatkan rakyat. Tiada tempat untuk rakyat mengambi bahagian atau membahaskannya,” kata kartunis itu yang pernah berdepan sembilan pertuduhan hasutan kerana menggunakan karya seninya untuk mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak dan isteriya Rosmah Mansor.
“Perdana menteri kini tidak bercakap pun dengan media. Beliau muncul di TV tetapi media tidak boleh tanya soalan.”
“Rakyat mahu jadi sebahagian daripada ini. Terlau banyak kenyataan pelik yang mungkin lucu bagi rakyat tetapi mereka tidak boleh luahkan di media rasmi,” tambahnya.

Sementara itu, doktor yang kini menjadi pelawak Dr Jason Leong berkata adalah tidak adil untuk pihak berkuasa menyiasat penyedia kandungan satira dan parodi.
“Ini hanyalah intimidasi dan gangguan. Jika kamu tidak suka dengan jenaka, buat lah jenaka yang lebih baik, bukan penjarakan pelawak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kita perlu belajar bagaimana untuk menghargai parodi/satira kerana apa sebenarnya yang ia lakukan adalah bercakap benar kepada pihak berkuasa untuk peningkatan yang lebih baik, ironinya, orang-orang inilah yang mendesak pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” tambahnya.
Menyifatkan parodi dan satira sebagai cerminan masyarakat, beliau berkata kemunculan akaun media sosial yang kuat dari segi politik menandakan terdapat keinginan dalam kalangan rakyat dan pemimpin untuk muhasabah diri.
“Tambahan pula, parodi dan satira adalah berasal dari komedi, dan komedi merupakan alat utama untuk bangkit dan bersuara kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Leong, kebanyakan rakyat Malaysia lebih mahukan parodi dan satira kerana mereka sudah bosan dengan inersia pembangunan dan mainan politik yang tidak berpenghujung oleh mereka yang berkuasa.
“Rakyat lebih bimbang dengan masalah lain yang dihadapi negara.
“Kita kini berdepan dengan pandemik dan kemelesetan ekonomi, jadi akaun parodi ini adalah perkara terakhir yang akan diberi perhatian oleh rakyat. Malah saya berani katakan kebanyakan daripada kami suka akaun parodi kerana mereka berani nyatakan apa yang kita tidak berani katakan menerusi komedi,” tambahnya.
Sementara itu, ketua pengarang laman web satira The Tapir Times yang hanya mahu dikenali sebagai Adam berkata, beliau terinspirasi oleh persembahan satira Amerika seperti The Colbert Report oleh Stephen Cobert dan The Daily Show yang sebelum ini dipersembahkan oleh Jon Stewart dan kini dihoskan oleh Trevor Noah.
“Tapir Times cuba untuk menerapkan bentuk satira topikal itu ke dalam kitaran berita Malaysia,” katanya.
Pada pandangannya, satira berita paling lucu adalah cerita fiksyen yang jelas tetapi mengandungi kebenaran yang lebih mendalam.
“Sekarang ada trend mewujudkan akaun satira nampak seperti sumber berita Malaysia yang terkenal. Kita tidak boleh bercakap untuk orang lain, tetapi bagi kami satira yang baik harus menghiburkan dan tidak mengelirukan.”
“Kita tidak mahu memperbodohkan pembaca lebih beberapa saat sebelum mereka dapat menangkap maksud lawak itu dan menganggapnya lucu. Pada pandangan kami, satira berita paling kelakar jelas fiksyen tetapi mengandungi kebenaran yang lebih mendalam,” katanya.
“Hari ini sesiapa sahaja boleh membuat laman web atau akaun Twitter yang kelihatan seperti berita arus perdana tetapi kita semua perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kita muat naik.”
“Sekiranya niat di sebalik satira adalah humor walaupun ia tidak bagus, maka kami rasa tidak apa-apa, tetapi ada garis yang jelas antara satira komedi dan trolling oleh cyber trooper,” tambahnya.
Menurutnya, masyarakat yang sukakan bentuk hiburan seperti ini akan mengikuti akaun seperti itu manakala mereka yang tidak menerimanya akan menyekatnya daripada akaun mereka. – 12 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen