Daim dakwa jadi sasaran kempen politik 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan siasatan ke atas beliau dan keluarga sebagai political witch hunt.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2023.

DAIM Zainuddin menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan siasatan ke atas beliau dan keluarga sebagai political witch hunt atau kempen politik yang menyasarkannya.

Beliau juga menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menganggapnya sebagai “ancaman politik dan rasa benci terhadapnya”.

Dalam satu kenyataan, bekas menteri kewangan itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk oleh saya atau keluarga saya.

“Siasatan ini tidak lain merupakan political witch hunt terhadap kami.

“Sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan tentang kesalahan apa yang didakwa saya lakukan walaupun saya telah berulang kali bertanya secara bertulis kepada SPRM.

“Saya boleh mendedahkan bahawa kami menerima surat yang ditandatangani oleh Azam Baki sendiri yang menolak secara terang-terangan untuk memberitahu saya apa kesalahan itu. Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya,” kata Daim.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki awal minggu ini berkata sitaan Menara Ilham di Kuala Lumpur baru-baru ini dikaitkan dengan siasatan ke atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas tangan kanan Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Azam, agensi itu telah memohon kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk menyita aset itu.

“Itulah yang berlaku (dalam kes ini). Di bawah kuasa DPP kami mengarahkan Pejabat Tanah meletakkan kaveat ke atas harta itu,” katanya. – 28 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen