Lebih banyak aset milik Daim mungkin dirampas, kata laporan


TINDAKAN tegas terhadap Daim Zainuddin dan keluarganya mungkin tidak berakhir dengan rampasan Menara Ilham bernilai jutaan dolar milik mereka.

Menurut The Star, lebih banyak aset bekas menteri kewangan itu mungkin dirampas, menurut dakwaan penyiasat rasuah ia susulan kegagalan menjelaskan sumber dana untuk membeli hartanah itu.

“Ini (lebih banyak rampasan) adalah satu kemungkinan. Jika perlu bagi aset untuk disita, penyiasat akan meneruskan untuk memohon rampasan,” kata sumber yang dipetik memberitahu The Star.

Sumber lain yang mengetahui tentang siasatan itu berkata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan penjelasan daripada Daim mengenai sumber dana tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, ketika ditanya mengenai siasatan terhadap Daim, berkata pegawainya menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram  tetapi enggan mendedahkan butiran kes itu.

Beliau berkata rampasan Menara Ilham adalah proses biasa dan bertujuan mengelakkan bangunan itu dijual ketika siasatan berlangsung.

Rampasan itu tidak akan menjejaskan operasi dan syarikat, kedai dan pejabat dalam bangunan itu boleh terus beroperasi, kata Azam.

“Apabila kita menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan terdapat aset tidak alih terlibat, kita dibenarkan di bawah Akta SPRM untuk memohon kepada timbalan pendakwa raya (TPP) untuk aset itu disita.

“Inilah yang berlaku. Kami menggunakan kuasa TPP untuk mengarahkan Pejabat Tanah meletakkan kaveat ke atas tanah itu,” jelasnya.

Azam berkata proses yang sama dilakukan beberapa kali semasa menjalankan siasatan SPRM.

“Ini (rampasan Menara Ilham) bukan satu-satunya kes,” kata Azam. – 23 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen