Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Usah perlekeh kebijaksanaan pengundi


CADANGAN pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sebagai projek perintis (pilot project) sewajarnya dilihat sebagai langkah positif bagi pemerkasaan hak demokratik warga ibu kota.

Langkah ini turut memberikan peluang kepada para pengundi di Kuala Lumpur untuk melibatkan diri dalam melakar corak pembangunan bandar raya terbesar di negara kita memandangkan WPKL masih belum mempunyai perwakilan bertaraf Adun yang dipilih oleh rakyatnya sendiri.

Keterbukaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa untuk membincangkan cadangan berkenaan secara lanjut bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sangat dialu-alukan.

Semoga perbincangan ini bakal membuahkan hasil dalam usaha untuk memperkasa demokrasi di WPKL.

Dalam tempoh seminggu sejak cadangan ini diketengahkan semula oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Saudara Tan Kok Wai, kita melihat bermacam-macam reaksi yang timbul.

Perbincangan yang rancak mengenai isu ini adalah memberangsangkan namun haruslah dijalankan secara berhemah dan cermat berlandaskan fakta dan maklumat.

Usahlah diperlekeh kebijaksanaan pengundi dengan menjadikan perkara ini sebagai pembakar sentimen perkauman.

Tuduhan tidak berasas bahawa pilihan raya kerajaan tempatan dapat menggugat perpaduan dan mewujudkan dominasi satu-satu kaum juga telah disangkal oleh aktivis gerakan masyarakat sivil seperti Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Muhammad Faisal Abdul Aziz dan juga ahli-ahli akademik serta penganalisis politik antara lainnya Dr. Zaharul Abdullah, Professor Dr. Ahmad Fauzi Hamid dan Professor Wong Chin Huat.

Malah mereka menekankan pelaksanaannya berpotensi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan apabila aspek akauntabiliti dan penglibatan awam lebih ditekankan.

Pemerkasaan demokrasi juga tidak berakhir dengan pilihan raya semata-mata. Peningkatan literasi politik perlu juga dijadikan tumpuan.

Program-program pendidikan politik untuk orang ramai haruslah menekankan aspek-aspek struktur pentadbiran negara, pengurusan dan peranan setiap lapisan pentadbiran, proses penggubalan dasar dan juga cara-cara bagaimana orang awam dapat melibatkan diri dalam proses-proses ini.

Bagi menyemarakkan penerapan amalan demokrasi ke peringkat akar umbi, badan-badan pemikir dan gerakan masyarakat sivil yang telah lama menjalankan kajian dan gerak kerja dalam bidang ini perlu dilibatkan sekali sebagai rakan peneraju.

Jika dilaksanakan dengan komprehensif, tidak mustahil kita dapat meningkatkan daya upaya lebih ramai aktivis-aktivis yang terlibat dalam pentadbiran di peringkat tempatan bagi memperjuangkan nasib penduduk termasuk penjaja di tengah kota.

Diakui model pelaksanaannya masih perlu diperhalusi, namun ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menolak cadangan projek perintis ini bulat-bulat.

Keunikan struktur politik bandar raya Kuala Lumpur yang tidak mempunyai Adun memberikan ruang buat pemegang taruh untuk merangka satu formula yang sesuai dengan acuan ibu negara kita. Cuma, dalam proses pertimbangan ini, biarlah ia dipandukan fakta dan bukan prejudis perkauman. – 23 Disember, 2023.

* Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Raja Ahmad Iskandar Fareez

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen