Kampung Setia Jaya: Sebuah kisah pengusiran dan penderitaan


PENDUDUK Kampung Setia Jaya, sebuah komuniti yang terdiri daripada rakyat Melayu, kini berdepan dengan ancaman pengusiran yang diselubungi tuduhan perkauman di bawah naungan pembangunan.

Kisah mereka bukan satu yang asing, menyerupai tragedi yang menimpa Kampung Chubadak, Kampung Aman, dan Kampung Berembang – semuanya lenyap dari peta sejarah Malaysia.

Kampung Setia Jaya sendiri memiliki sejarah yang mendalam. Dibuka sebagai tanah hutan oleh bekas anggota tentera atas permintaan Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri ke-2, kampung ini menjadi simbol usaha Bumiputera Melayu untuk berhijrah ke bandar demi stabilisasi politik.

Dikenali sebagai Kampung Melayu Buku Hijau, ia juga meliputi Taman Melati dan projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Namun, nasib penduduk ini kini tergantung. Permohonan mereka untuk mendapat geran tanah tidak pernah ditunaikan. Kini, mereka berdepan dengan notis pengusiran kerana tanah tersebut diberikan kepada pemaju yang akan membangunkan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC), sebuah institusi pendidikan tinggi swasta milik MCA.

Kisah mereka menjadi semakin pilu apabila penduduk, termasuk generasi keempat yang lama menetap, diminta mengosongkan kawasan tersebut. Lebih 500 penduduk kini menanti nasib mereka, sambil memohon campur tangan pemimpin dan kerajaan.

Video viral yang memperlihatkan wanita dari Kampung Setia Jaya meluahkan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan ini membangkitkan persoalan: Adakah konsep kerajaan Madani, yang dijunjung tinggi oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim; hanya retorik kosong?

Konsep ini sepatutnya mewujudkan pendekatan yang lebih manusiawi dalam setiap dasar dan pelaksanaan di Malaysia, namun apa yang berlaku seolah-olah menafikan prinsip tersebut.

Penderitaan ini menggambarkan betapa pemimpin yang sepatutnya berpijak di bumi nyata, sering kali terlepas pandang dari realiti masyarakat dan budaya bangsa.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pernah berkata: “Ketua ialah seorang hamba yang mempersembahkan diri supaya menjadi pesuruh kepada sekalian rakyat jelata dan pekerjaannya ialah mengorbankan diri untuk berkhidmat kepada rakyat jelata.”

Namun, ironisnya, PMX dan kerajaan PH-BN pimpinannya gagal memenuhi peranan ini.

Kisah Kampung Setia Jaya bukan sekadar tentang pengusiran, tetapi juga tentang bagaimana sebuah masyarakat yang lama berakar di tanah ini, kini terpinggir dan tertindas.

Ini adalah kisah yang harus direnungi bersama, sebagai sebuah bangsa yang berusaha untuk menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya dan sejarahnya. – 22 Disember, 2023.

* Mahathir Mohd Rais adalah ketua penerangan Bersatu Wilayah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen