Kim Jong Un dakwa ujian ICBM beri 'isyarat jelas' kepada AS


Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata pelancaran peluru berpandu Hwasong-18 yang dijana oleh bahan api pepejal itu sebagai isyarat jelas kepada pihak musuh. – Gambar AFP, 20 Disember, 2023.

UJIAN peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Korea Utara pada Isnin merupakan amaran negara itu terhadap Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata pelancaran peluru berpandu Hwasong-18 yang dijana oleh bahan api pepejal itu sebagai isyarat jelas kepada pihak musuh.

Bergantung kepada reka bentuknya peluru berpandu itu boleh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear.

Peluru berpandu itu terbang kira-kira 1,000 km sebelum jatuh ke laut.

“Kejayaan ujian berterusan itu merupakan demonstrasi praktikal keadaan sebenar dan kebolehpercayaan terhadap keupayaan serangan perang nuklear yang dimiliki oleh angkatan tentera,” lapor KCNA memetik kenyataan Kim.

Beliau berkata peluru berpandu itu menunjukkan pilihan yang boleh diambil jika Washington membuat keputusan yang salah terhadap negaranya.

Hwasong-18 pertama kali diuji pada April.

AS, Korea Selatan dan Jepun yang mengutuk ujian pada Isnin itu menganggapnya sebagai provokasi dan pencabulan jelas resolusi Majlis Keselamatan PBB yang melarang aktiviti nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Rejim itu mengadakan ujian peluru berpandu beberapa kali pada tahun ini sebagai tindak balas kepada latihan ketenteraan bersama oleh AS dan Korea Selatan. – Bernama, 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen