Benarkan bekerja dari rumah, guna teknologi untuk buat kerja


MAJIKAN di sektor pekerjaan tertentu boleh memberi kelonggaran untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah atau dari lokasi yang sesuai dan selamat.

Ini susulan peningkatan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 di negara kita semenjak kebelakangan ini.

Memandangkan virus Covid-19 serta varian yang dibawanya masih memberi kesan terhadap tahap kesihatan individu, setiap pihak harus memandang perkara ini dengan serius serta mengambil langkah yang perlu bagi melindungi tahap kesihatan dan keselamatan diri dan ini termasuklah pekerja.

Pekerja di sektor tertentu boleh diberi pertimbangan untuk bekerja dari rumah atau dari lokasi yang sesuai dan selamat untuk sementara waktu sehingga penularan jangkitan virus Covid-19 berkurangan dan berada dalam tahap yang terkawal.

Tanggungjawab majikan untuk memastikan tahap kesihatan dan keselamatan pekerja sudah lama termaktub dalam undang-undang buruh dalam negara kita seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Oleh yang demikian, sudah menjadi tanggungjawab hakiki dan undang-undang pihak majikan untuk memastikan pekerja mereka tidak terdedah dengan risiko bahaya termasuk jangkitan sebarang jenis penyakit berjangkit.

Arahan untuk bekerja dari rumah atau dari lokasi yang sesuai dan selamat ini bukanlah satu perkara yang baru dilaksanakan di negara kita. Ia pernah dilaksanakan ketika penularan virus Covid-19 memuncak pada sekitar 2020 dan 2021.

Tidak menjadi satu masalah yang besar untuk majikan untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah atau dari lokasi yang sesuai dan selamat untuk sementara waktu sekali lagi, demi menjaga tahap kesihatan dan keselamatan pekerja mereka.

Memandangkan penularan virus Covid-19 dan varian yang dibawanya masih berlaku di serata dunia pada ketika ini dan dijangka akan berterusan berlaku untuk satu tempoh yang lama lagi, tidak wajar juga sekiranya sesetengah jenis aktiviti berkaitan dengan kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dilakukan secara semuka di tempat kerja ataupun di pejabat.

Majikan perlu menggunakan segala kemudahan teknologi moden yang ada pada masa kini untuk menjalankan beberapa aktiviti kerja ini.

Zaman sudah pun berubah. Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi moden dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak termasuk urusan berkaitan dengan aktiviti kerja.

Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan.

Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian yang wujud perlu digunakan dengan sepenuhnya oleh semua pihak dan ini termasuklah pekerja sendiri di tempat kerja mereka.

Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ini tidak boleh dijadikan sebagai bahan perhiasan semata-mata ataupun alat yang hanya digunakan ketika kita sedang hadapi waktu kecemasan sahaja seperti ketika hadapi penularan wabak penyakit.

Segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini perlu digunakan sepenuhnya pada setiap masa kerana ia memberi banyak manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada diri individu pekerja itu sendiri malah kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak pekerja itu.

Penggunaan kemudahan dan aplikasi dalam talian ini mula mendapat tempat di negara kita dan di serata dunia apabila berlakunya penularan virus Covid-19 yang mengancam kesihatan dan nyawa manusia semenjak awal 2020 yang lalu.

Namun segala kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh majikan dan pekerja di tempat kerja.

Para majikan dan pekerja dilihat lebih selesa untuk mengadakan aktiviti kerja mereka seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dengan cara lama iaitu dengan bersemuka secara fizikal di tempat kerja ataupun pejabat.

Penggunaan cara lama ini membawa kepada banyak masalah seperti pembaziran masa, tenaga serta wang dan lain-lain lagi.

Dengan penularan Covid-19 serta varian yang dibawanya pada ketika ini juga, cara lama yang digunakan pakai ini boleh mendedahkan majikan serta pekerja itu sendiri dengan bahaya jangkitan.

Perlu diingatkan, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak ditempat kerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ia juga telah termaktub bawah peruntukan undang-undang buruh dalam negara kita seperti yang termaktub bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Tindakan undang-undang yang keras boleh diambil terhadap mana-mana pihak majikan ataupun pihak pengurusan di tempat kerja yang didapati gagal melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja mereka sendiri bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini.

Kerajaan perlu mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan sesetengah jenis aktiviti berkaitan dengan kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dilakukan secara dalam talian.

Tanpa adanya perintah atau arahan jelas ini, sukar untuk kita merealisasikan usaha untuk menggalakkan majikan untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah ini kelak.

Majikan dan pekerja perlu belajar guna komputer serta tatacara untuk mengadakan sebarang jenis mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi secara dalam talian.

Tidak menjadi satu beban yang besar untuk pihak majikan dan pekerja belajar menggunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden ini bagi melaksanakan urusan kerja seharian mereka.

Pelajar sekolah pun tahu bagaimana hendak menggunakan komputer dan telefon pintar pada masa kini dengan pantas dan cekap untuk melakukan aktiviti harian mereka.

Apa guna majikan dan pekerja sibuk berbelanja besar beli peralatan canggih seperti komputer dan telefon pintar sekiranya ia tidak digunakan sepenuhnya untuk kemudahan dan manfaat kepada diri mereka sendiri khususnya bagi melindungi diri sendiri daripada jangkitan penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan diri. – 19 Disember, 2023.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen