Ringgit lemah bantut hasrat pelajar lanjut pengajian di luar negara


Angie Tan

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati pelajar yang masih ingin melanjutkan pengajian memilih program ijazah berkembar dalam dan luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2023.

KEBANYAKAN pelajar yang bercadang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dilapor terpaksa menangguhkan hasrat mereka berikutan kelemahan nilai ringgit, menyebabkan kos pengajian untuk tempoh tiga empat tahun tidak dapat dibiayai.

Kos, selepas pandemik Covid-19, dilaporkan meningkat 20% - 10% daripada yuran pengajian manakala 10% lagi untuk menampung kos sara hidup yang lebih tinggi akibat kejatuhan nilai ringgit.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati pelajar yang masih ingin melanjutkan pengajian di luar negara kini sedang mencari program ijazah berkembar di mana mereka akan belajar satu atau dua tahun di universiti tempatan sebelum menamatkan baki pengajian mereka di luar negara dalam usaha untuk mengurangkan kos.

Pengasas MyStudy, sebuah syarikat penempatan pelajar, CK Chiau berkata kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kepada perniagaannya kerana ibu bapa kini lebih berminat menghantar anak mereka untuk melanjutkan pengajian di dalam negara berikutan kos yang melambung tinggi.

“Yuran pengajian dan kos sara hidup adalah dua perkara yang dibimbangi ibu bapa,” katanya.

Menurut Chiau, destinasi pengajian tinggi luar negara yang popular untuk pelajar Malaysia ialah United Kingdom, Australia, Ireland dan Jerman.

Ireland, katanya, diminati ramai pelajar Malaysia sejak 15 tahun lalu.

Chiau berkata MyStudy yang ditubuhkan pada 2004 juga membantu ribuan pelajar mencari tempat di universiti di Singapura dan Eropah.

Bagaimanapun, Perancang Kewangan Nicholas Chu, menasihati ibu bapa pelajar supaya hanya menghantar anak mereka ke luar negara jika ada kemampuan.

Penilitiaan harus ditekankan terhadap yuran pengajian di universiti yang bakal dimasuki.

Katanya, ia berbeza mengikut negara dan universiti berkenaan.

Beliau berkata, untuk mengikuti kurusus perakaunan di universiti tempatan mungkin menelan belanja antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi tempoh tiga tahun pengajian sepenuh masa, manakala ia boleh menjangkau RM100,000 hingga RM200,000 di Australia serta antara RM300,000 dan RM 600,000 di Amerika Syarikat.

Tambahnya meskipun yuran pengajian adalah pertimbangan utama, namun mereka tidak seharusnya melupakan kos sara hidup seperti penginapan, pengangkutan dan makanan.

Sama ada pihak sekolah membenarkan pelajar bekerja secara sambilan juga merupakan sesuatu yang harus mereka pertimbangkan, katanya.

“Tidak semua pelajar boleh bergantung sepenuhnya pada sokongan kewangan ibu bapa masing-masing.”

Chiau berkata jika ibu bapa mahu anak mereka melanjutkan pengajian di luar negara, maka mereka sepatutnya mewujudkan dana pendidikan dan memperuntukkan 10% hingga 30% daripada pendapatan bersih tahunan.

“Perancangan awal dan permulaan adalah penting,” katanya. – 18 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen