Kepanikan moral di media sosial: Bagaimana merawatnya?


ADA satu fenomena yang menjadi suatu kerisauan besar kepada saya. Fenomena ini saya lihat semakin mendominasi ruang awam. Saya panggil fenomena ini sebagai kepanikan moral.

Kepanikan moral ialah sikap tergesa-gesa memberikan ulasan dan kesimpulan kepada isu-isu yang muncul di media sosial tanpa memahami dahulu letak atau duduknya masalah.

Dalam hidup bermasyarakat dan saling berhubung antara satu sama lain, kita tidak akan terlepas untuk mengambil tahu apa yang berlaku di sekitar kita. Kita tatal (scroll) skrin telefon bimbit dan membaca isu-isu yang menjadi bualan ramai.

Namun, ketika isu yang kita baca itu bercanggah dengan kompas moral kita, ia terus disambut dengan reaksi kepanikan, bukan kesedaran. Akhirnya, segala komentar mahupun respons kita terhadap isu itu datang dalam keadaan spontan dan tergesa-gesa.

Kepanikan moral ini sering memburukkan keadaan meskipun ia digerakkan oleh sikap moral kita. Hal ini kerana kepanikan moral itu telah menyebabkan kita tidak memberikan masa yang cukup untuk menimbang tara letak atau duduk sesuatu isu itu.

Kita tidak sempat memproses dahulu hal yang baik dan yang buruk, atau memahami dahulu cerita yang betul dan yang salah. Hasilnya, perhatian yang kita tunjukkan melalui komentar mahupun berkongsi kepada bulatan terdekat kita, datang dengan proses berfikir yang separa matang atau lazimnya, tidak matang sama sekali!

Ketika kita menjadi spontan dengan kepanikan terhadap apa-apa isu yang tular, kita akan cepat-cepat menyalahkan dan menghukum tanpa memahami letak atau duduk masalah berkenaan.

Lebih merisaukan apabila kita terus membuat kesimpulan mudah walaupun isu itu baru timbul di media sosial tidak sampai lima minit. Ini hal yang bermasalah!

Kepanikan moral ialah moral yang bersikap reaktif. Moral kita tidak dipandu empati dan komitmen yang mendalam. Kepedulian kita seiring dengan bergeraknya isu. Usai isu itu di media sosial, habislah penglibatan kita. Ia menjadi hal yang sangat bermasalah apabila kita dipandu dengan isu, bukan dengan ilmu dan kefahaman.

Maka, datanglah tindakan yang tidak kena pada tempatnya. Kita cepat menyebar cerita tanpa tahu cerita itu betul atau tidak.

Lebih parah, kita tidak mahu bertanggungjawab pula apabila cerita itu sudah jelas salah. Nah, sudah berapa ramai yang membaca cerita yang salah gara-gara kepanikan moral kita?

Kewujudan media sosial hari ini pula telah mempercepat dan mempermudah lagi penyebaran sesuatu isu. Apatah lagi jika isu berkenaan mula mendapat tempat di ruang massa – dalam kalangan pempengaruh, media tabloid atau rancangan televisyen – meskipun isu berkenaan bukanlah menjadi masalah awam!

Media sosial telah mengizinkan apa sahaja isu meskipun remeh sifatnya untuk mudah mendapat perhatian awam. Bahkan, sebahagian daripada kita merasakan perlu untuk memberikan perhatian tersebut kerana tidak mahu dilihat ketinggalan.

Kepanikan moral ini harus dirawat dengan ubatnya yang bernama kesedaran moral.

Mereka yang mempunyai kesedaran moral ini memiliki sikap tanggungjawab yang tinggi.

Mereka akan memberikan masa kepada diri sendiri untuk memahami letak atau duduk apa-apa masalah. Masa itu digunakan untuk mengenali apa yang baik dan apa yang buruk. Kesedaran moral dituntun oleh kesabaran dan jeda masa.

Hujungnya, ia membantu kita untuk menentukan sikap dan pendirian dengan penuh sedar, sama ada ingin memberikan ulasan yang kita tahu akan memberi manfaat kepada orang lain atau meninggalkannya untuk memberi ruang kepada pihak yang selayaknya untuk menyelesaikannya.

Kesedaran moral juga membuatkan kita menjadi sedar akan jarak antara diri kita dengan isu yang sedang tular.

Jika isu itu melibatkan kepentingan awam seperti salah laku terhadap dana awam, rasuah kepada pihak tertentu dalam urusan projek-projek pendidikan rakyat atau ketirisan perbelanjaan dalam pentadbiran negara, mesti menyedari bahawa hal berkenaan mesti segera disuarakan dan diberikan desakan.

Namun, jika ia adalah urusan peribadi, kita tidak mudah-mudah mengulas isu yang tidak sepatutnya kita terlibat.

Kesimpulannya, tanyalah semula kepada diri kita. Ketika kita mengambil tahu dan ingin memberikan ulasan terhadap isu-isu yang tular di sekitar kita, adakah ia dipandu oleh kepanikan moral atau kesedaran moral? – 17 Disember, 2023.

*Usaid Asmadi, Ketua Penerangan IKRAM Muda,Pertubuhan IKRAM Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen