Goda isteri orang: Mahkamah Persekutuan tersilap tafsir isu diskriminasi jantina


SAYA berpandangan mahkamah telah khilaf kerana tidak melihat Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai peruntukan undang-undang am yang mengawal undang-undang peribadi. Peruntukan tersebut menyentuh perlindungan yang diberikan kepada undang-undang keluarga iaitu hidup berumahtangga antara suami dan isteri.

Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi termasuklah diskriminasi jantina apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri (personal law). Undang-undang diri atau peribadi turut dikenali sebagai undang-undang keluarga atau undang-undang perkahwinan (rumah tangga), ia menyentuh perkahwinan, penceraian, penjagaan anak, pengangkatan anak, pusaka dan hak harta.

Mahkamah sepatutnya melihat lebih luas daripada isu diskriminasi jantina. Pemikiran feminisme Barat tidak boleh diimport sebagai sumber perundangan di Malaysia kerana ia dibataskan oleh ajaran agama dan adat tempatan, malah Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972).

Sistem perlembagaan mempunyai falsafah, doktrin dan prinsip tersendiri yang perlu dianalisis berlandaskan jurisprudens. Sistem perlembagaan negara kita mendukung prinsip kedaulatan berteraskan patuh syariah dan keluhuran perlembagaan.

Seksyen 498 adalah peruntukan undang-undang yang memelihara kesucian sebuah rumahtangga yang ditadbir oleh undang-undang keluarga. Kemuliaan seorang isteri hendaklah dilihat dari sudut agama dan adat, bukannya mengikut neraca dikotomi.

Undang-undang perlu memelihara etika mengikut adat tempatan dan itulah prinsip kemoralan yang dilindungi oleh Seksyen 498.

Perkara 11(5) turut memperuntukkan hak kebebasan agama tidak boleh bercanggah dengan undang-undang awam berkenaan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

Perbuatan seorang lelaki menggoda isteri orang adalah perkara yang tidak bermoral dan tidak menggambarkan gaya hidup masyarakat yang madani malah mampu memporak-perandakan kehidupan dalam masyarakat.

Kedudukan isteri dalam rumahtangga yang dimuliakan selama ini sekarang dipandang sebagai satu diskriminasi jantina oleh keputusan Mahkamah Persekutuan adalah bercanggah dengan Perkara 8(5).

Oleh kerana ikatan suami isteri itu adalah tertakluk kepada undang-undang keluarga, maka Seksyen 498 tersebut adalah sah dan berperlembagaan.

Undang-undang am yang menyentuh ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan merupakan prinsip undang-undang yang boleh membataskan semua hak dalam kebebasan asasi.

Tidak ada kewajaran seksyen itu dianggap melanggar autonomi dan maruah wanita kerana isteri mempunyai kemuliaan di sisi suaminya dan maruah suami akan tercalar malah dianggap dayus jika tidak mengawal akhlak isterinya.

Perkara 8(2) membenarkan diskriminasi jantina jika diberikan kebenaran oleh Perlembagaan. Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi jantina begitu juga undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

Pendekatan tafsiran secara sempit oleh mahkamah dalam kes tersebut tentang pengecualian yang dibenarkan terhadap diskriminasi jantina di bawah Perkara 8 akan membuka kepada lebih banyak percanggahan dengan amalan sedia ada.

Seksyen 498 merupakan peruntukan nyata yang mengawal selia undang-undang keluarga dan sekatan kepada kebebasan beragama di bawah Bahagian II. Pengecualiaan kepada Perkara 8 tidak semestinya diletakkan di bawah Perkara 8. Perkara 11, 32, 38, 152, 153 dan 181 adalah contoh peruntukan Perlembagaan yang membenarkan diskriminasi agama, jantina dan keturunan.

Tegasnya, mahkamah hendaklah mengutamakan prinsip ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan kerana itu juga merupakan asas kepada penggubalan suatu undang-undang. Tugas mahkamah bukan sahaja mengadili tetapi menguatkuasakan matlamat penggubalan undang-undang tersebut.

Dari sudut ini, adakah satu diskriminasi jantina apabila suami sahaja yang wajib dan perlu membayar nafkah isteri dan anak?

Adakah satu diskriminasi jantina apabila Seksyen 289 Kanun Aturcara Jenayah (CPC) mengecualikan hukuman sebat kepada perempuan?

Adakah mahkamah bersedia untuk membuat keputusan bahawa undang-undang sedemikian adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perkara 8?

* Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen