Mydin gesa kerajaan benarkan import beras


Noel Achariam

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata Putrajaya sepatutnya membenarkan peruncit mengimport beras untuk mengatasi sebarang kekurangan dan mengkaji kenaikan harga siling beras tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2023.

PUTRAJAYA sepatutnya membenarkan peruncit mengimport beras untuk mengatasi sebarang kekurangan dan mengkaji kenaikan harga siling beras tempatan, kata Pengarah Urusan pasar raya besar Mydin Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata ini adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh Putrajaya untuk menangani isu itu.

“Kita tidak dibenarkan mengimport beras. Jika menteri (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu) mahu menyelesaikan masalah itu, maka mereka perlu membenarkan peruncit mengimport beras.

“Jika Mydin dibenarkan mengimport beras, kami akan menjualnya pada harga RM32 sekilogram dan bukan RM42 sekilogram untuk beras import,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ameer juga berkata jika mereka dibenarkan mengimport beras maka tidak perlu ada sebarang surcaj kepada Bernas (Padiberas Nasional Bhd).

“Ia (import) tidak boleh disertakan dengan sebarang sekatan atau surcaj. Itu satu penyelesaian untuk menangani isu berkenaan,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu mengkaji untuk menaikkan harga siling beras daripada RM26 kepada RM32.

“Menyelesaikan masalah itu bukan dengan memberi lebih subsidi tetapi dengan menghapuskan harga terkawal.

“Tetapi mereka juga harus tetap memberi subsidi yang disasarkan kepada kumpulan B40,” katanya.

Bulan lalu Mohamad berkata sebarang cadangan untuk menaikkan harga beras tempatan adalah adil kepada petani, pengeluar, peniaga dan pengguna.

Beliau berkata harga semasa RM26 setiap 10kg tidak pernah berubah sejak 2008 dan jika ada kenaikan, mereka perlu berbincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ameer berkata pada masa ini tiada kekurangan beras import yang dijual pada harga RM42 untuk 10kg dan RM21 untuk 5kg.

“Sudah tentu pelanggan kecewa kerana isu beras tempatan masih belum selesai.

“Isunya ialah terdapat perbezaan RM26 hingga RM42 untuk sekampit beras 10kg,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat peningkatan dalam pengeluaran, tiada lonjakan nyata dalam bekalan beras tempatan.

“Kita harap menteri yang bertanggungjawab (Mohamad) serius mengambil kira dan menangani isu itu. Kerana kedua-dua isu beras dan telur tidak selesai.

“Kita sudah minta Mohamad menaikkan harga beras.

“Mereka bagaimanapun berjaya menyelesaikan isu ayam apabila mereka mengeluarkan kawalan harga,” katanya.

Mohammad berkata isunya apabila India mengharamkan eksport beras tempatan dan hanya membenarkan beras Basmati dijual.

“Jadi apabila mereka berbuat demikian negara lain juga akan menaikkan harga jualan mereka.

“Jadi kami berharap menteri-menteri yang bertanggungjawab akan mendengar pendapat pihak berkepentingan dan menyelesaikan isu itu,” katanya. – 16 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen