Kerajaan perlu ambil langkah pencegahan hadapi gelombang Covid-19 berulang


KAMI mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Dzulkefly Ahmad atas pelantikan beliau sebagai menteri kesihatan susulan rombakan Kabinet kelmarin.

Kami mendoakan segalanya yang terbaik ke atas beliau dalam menjalankan tugas di kementerian yang bukan asing baginya.

Memandangkan kes baharu Covid-19 mencecah paras tertinggi tahunan iaitu 29,129 kes pada 11 Disember, 2023 satu trend yang turut disaksikan di peringkat serantau dan global, kami menyeru menteri kesihatan untuk mempertimbangkan beberapa tindakan sebagai persediaan berulangnya peningkatan kes Covid-19 besar-besaran, susulan “gelombang” jangkitan yang muncul.

Pertamanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadang memperkenal dan menggalakkan semula prosedur amalan standard (SOP) TRIIS iaitu Test (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asingkan diri), dan Seek (Dapatkan bantuan/rawatan) di kalangan orang ramai supaya kita bersama-sama mengambil langkah pencegahan, sementara sektor awam bersedia menghadapi kemungkinan gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Kedua, kementerian perlu mengesyorkan pengambilan suntikan dos penggalak terutamanya di kalangan golongan rentan dan berisiko tinggi – seperti warga emas dan mereka dengan sistem imun yang lemah.

KKM harus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memudah cara proses perolehan yang telus bagi mendapatkan varian terbaru vaksin penggalak yang terdapat di pasaran. Pada masa yang sama, KKM harus mula mengaktifkan semula ekosistem imunisasi di seluruh negara melalui klinik dan hospital swasta serta kerajaan.

Ketiga, Kementerian perlu mempertimbang untuk memulakan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tujuan laporan dan pemantauan kesihatan para pesakit Covid-19.

Pada masa yang sama, KKM juga harus mengerahkan pasukan analisis datanya (atau bekerjasama dengan pihak lain yang mempunyai keupayaan analisis data) untuk menganalisis data baharu Covid19.

Ini bagi mengenal pasti corak penyebaran wabak berdasarkan lokasi, tempat kerja dan lain-lain data demografik pesakit.

Para penyelidik juga boleh mengakses data awam Covid- 19 di https://github.com/MoH-Malaysia/covid19-public untuk membantu dalam tugasan menganalisis data.

Keempat, KKM harus bekerjasama rapat dengan MITI dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengesan corak penyebaran jangkitan dalam kalangan pekerja kilang serta menjalankan siasatan ke atas keadaan hidup para pekerja tersebut.

Salah satu sebab terjadinya “kluster kilang” semasa pandemik lalu adalah kerana ramai di kalangan pekerja ini yang kebanyakannya warga asing, tinggal berhimpit dalam kediaman yang terlalu sesak dan tanpa pengudaraan yang baik.

Tindakan tegas mesti diambil terhadap syarikat yang masih menempatkan pekerja asing mereka dalam keadaan daif dan tidak mematuhi piawaian buruh antarabangsa.

Kelima, KKM harus mempertimbangkan untuk menerbitkan data harian kematian kes Covid-19 sebagai cara memaklumkan masyarakat tentang bahaya varian baharu virus, bagi menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi supaya mengambil suntikan dos penggalak mereka.

Lonjakan terbaharu kes Covid-19 ini diharap hanya bersifat sementara namun berdasarkan pengalaman berhadapan dengan pandemik lalu, kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi bersama-sama melindungi semua masyarakat yang tinggal di negara kita. – 15 Disember, 2023.

* Kenyataan bersama bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Dr Ong Kian Ming.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen