Solidariti Palestin: Tiada program hiburan sempena ambang Tahun Baharu di Perlis


Mohd Shukri Ramli membawa usul rakyat Perlis-Untukmu Palestin pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-15 di Kompleks Dun Perlis, hari ini. – Gambar UPNPs, 13 Disember, 2023.

PERLIS terus mempamerkan solidariti kepada rakyat Palestin dengan tidak merayakan sambutan ambang Tahun Baharu dengan program hiburan.

Perkara itu disampaikan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli ketika membawa usul rakyat Perlis-Untukmu Palestin pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-15 di Kompleks Dun Perlis, hari ini.

“Ketika mana kita masih menganjurkan pelbagai program hiburan yang terus melalaikan, saudara kita masih ditembak mati dan syahid di sana.

“Setelah melihat semua keadaan yang menyedihkan ini berlaku dan Malaysia pula turut mula memandang sepi terhadap isu Palestin ini.

“Jadi, saya mencadangkan tiada sebarang program hiburan berbentuk nyanyian dan tarian melalaikan sewaktu ambang tahun baharu ini di negeri Perlis,” katanya, lapor Malaysiakini.

Menurut Shukri, pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel sudah berlaku cukup lama yang tiada penyelesaian dari kuasa dunia untuk menghentikan konflik itu.

“Kekejaman di Semenanjung Gaza masih berlanjutan dengan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas dan ihsan terutamanya golongan wanita, warga emas malah kanak-kanak,” katanya.

“Jenayah ini sudah berlarutan sekian lama dan masih dipandang sepi tanpa ada solusi yang kukuh daripada negara kuasa dunia bagi menghentikan konflik tersebut,” katanya.

Kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis sebulat suara menolak penyelesaian dua negara di Palestin sebagai menolak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sah.

Negeri Perlis yang ditadbir PAS dan Perikatan Nasional itu mempunyai seorang ahli pembangkang iaitu wakil Indera Kayangan Gan Ay Ling (PKR). –13 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen