Perlis, Kedah, Terengganu paling tinggi guna air, kata SPAN


Penggunaan air dalam jumlah yang banyak melibatkan akaun domestik boleh menyumbang kepada penggunaan sumber air yang tidak lestari, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

PERLIS, Kedah dan Terengganu merekodkan jumlah penggunaan air domestik tertinggi berbanding purata per akaun, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Suruhanjaya itu berkata dapatan itu berdasarkan kajian yang dijalankan bagi mengenal pasti faktor utama penggunaan air domestik di tiga negeri terbabit.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPAN berkata penggunaan domestik di Perlis, Terengganu dan Kedah secara purata berbanding akaun masing-masing adalah 430.73 meter padu (m3), 372.62 m3 dan 359.88 m3.

“Pada tahun 2020, kadar penggunaan air liter perkapita sehari (LCD) adalah sebanyak 244 dan ianya meningkat kepada 251 pada tahun 2021. 

“Pada tahun 2022, nilai LCD direkodkan pada kadar 237 dan telah menunjukkan penurunan,” katanya.

Menurut SPAN, kajian tersebut dijalankan bagi mengkaji faktor utama penggunaan air domestik tertinggi oleh pengguna.

“Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti secara terperinci tiga negeri yang mempunyai penggunaan air domestik yang tertinggi bagi tahun 2022, serta mengkaji dan menganalisis trend penggunaan air di samping trend sosio ekonomi serta gaya hidup seisi rumah bagi penggunaan air domestik tertinggi,” katanya. 

Tambah suruhanjaya itu, kajian tersebut turut mengesyorkan langkah-langkah penjimatan bagi penggunaan air domestik tertinggi.

Hasil daripada kajian itu juga SPAN mendapati empat faktor utama yang menyebabkan penggunaan air domestik yang tinggi.

Pertama katanya, akaun bekalan air mempunyai lebih daripada satu premis dan berkongsi meter air menyebabkan purata saiz isi rumah melebihi daripada empat orang penduduk seperti yang telah diwartakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

“Kajian menunjukkan 46% (60 daripada 131 responden) mempunyai akaun bekalan air yang berkongsi melebihi satu premis.

“Kedua, kebocoran selepas meter bagi premis domestik merupakan faktor tertinggi penggunaan air domestik dengan peratusan sebanyak 62.6% (82 daripada 131 responden) daripada keseluruhan premis yang telah dikaji,” menurut SPAN.

Seterusnya, penggunaan bukan domestik di premis yang menggunakan akaun bekalan air berkod tarif domestik turut menyumbang kepada penggunaan air domestik yang tinggi iaitu sebanyak 32.8% (43 daripada 131 responden). 

Penggunaan bukan domestik tersebut merangkumi kegunaan bagi madrasah, kedai makan, kedai memproses ayam, penternakan, serta industri pertanian, kata SPAN.

Faktor keempat katanya, sebanyak 97.7% (128 daripada 131 responden) tidak menggunakan produk jimat air berdaftar dengan SPAN di bawah program Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA). 

“Sebanyak 81.7% pengguna yang ditemu bual tidak mempunyai kesedaran serta pengetahuan tentang produk cekap air.” 

Suruhanjaya itu menegaskan penggunaan air dalam jumlah yang banyak melibatkan akaun domestik boleh menyumbang kepada penggunaan sumber air yang tidak lestari. – 8 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen