Kenapa dianggap provokatif sekarang tetapi tidak dulu?


SAYA akan bertemu dengan pihak polis dalam beberapa hari yang akan datang untuk memberikan keterangan mengenai kenyataan saya kepada pelajar Malaysia di Manchester pada bulan lepas.

Saya dituduh sebagai membuat provokasi apabila saya mengatakan yang Perlembagaan Malaysia memperuntukkan yang seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Tidak ada niat sebegini.

Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia.

Saya percaya yang salah satu cara untuk Umno kembali relevan kepada orang Melayu dan negara Malaysia adalah untuk parti tersebut kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan tiga perdana menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein – yang juga merupakan presiden Umno.

Saya bersetuju dengan seorang pengulas yang mengatakan buat masa ini, kenyataan seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri ini adalah satu “kenyataan fakta” dan bukanlah satu “kenyataan realiti”.

Di Amerika Syarikat (AS), mereka mengambil masa 230 tahun sebelum seorang berkulit hitam dapat menjadi presiden AS.

Saya harap, Malaysia tidak memerlukan 230 tahun untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak jangka perkara ini akan terjadi dalam 100 tahun yang akan datang.

Sekiranya dalam 1860-an, rakyat Amerika Syarikat ditanya sama ada seorang individu berkulit hitam boleh menjadi presiden AS, jawapannya sudah tentu sekali “Tidak”.

Namun, kira-kira 150 tahun kemudian, seorang rakyat AS berkulit hitam, Barack Obama, menjadi presiden AS ke-44 pada 2009.

Kerana inilah saya katakan di Manchester:

“Saya pernah dituduh sebagai kononnya ingin menjadi perdana menteri Malaysia. Perkara ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya kerana dalam keadaan semasa, perkara ini tidak mungkin akan berlaku.

“Kita perlu berada dalam situasi di mana sejumlah besar rakyat Malaysia, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, mengimpikan Impian Malaysia dan bukannya impian mono-etnik.”

Mengapakah pada 1957 dalam Perlembagaan Malaya dan kemudiannya pada 1963 dalam Perlembagaan Malaysia, kenyataan yang mengatakan untuk seorang bukan Melayu menjadi seorang perdana menteri tidak dianggap sebagai perkara yang “provokatif”.

Namun enam dekad kemudian menjelaskan perkara yang ada dalam Perlembagaan ini kini dianggap “provokatif”?

Salahkah untuk katakan yang Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara dan Wawasan 2020 dengan sembilan cabaran strategiknya ini menyediakan asas untuk sebuah Impian Malaysia yang bersifat berbilang etnik, agama, dan budaya dan bukannya bersifat mono-etnik?

Dalam lima tahun yang lepas, rakyat Malaysia membiarkan diri mereka dikaburkan dengan isu perkauman dan keagamaan, mempercayai yang sesebuah agama atau kaum sedang berhadapan dengan ancaman.

Tidak ada mana-mana kaum atau agama di Malaysia yang sedang berhadapan dengan ancaman eksistensial atau bakal dihapuskan.

Seperti dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam sebuah wawancara baru-baru ini, Malaysia adalah tempat pertemuan pelbagai budaya yang dikekalkan sejak Kemerdekaan negara, dan negara kita perlu terus mempertahankan nilai dan latar belakang yang pelbagai ini yang merupakan salah satu kekuatan yang menyatukan negara kita.

Baginda mengatakan yang tidak ada pendatang di Malaysia ini memandangkan Raja-Raja Melayu menerima semua, termasuklah golongan bukan Melayu, sebagai rakyat.

Malaysia mampu untuk menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia dan marilah kita semua berusaha untuk Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan menjadi sebuah “Asia Segera”! 

* Lim Kit Siang adalah veteran DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen