MB Johor arah TNB, JKR selesai isu gangguan elektrik di CIQ BSI


Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru mengalami gangguan bekalan elektrik dari 8 malam tadi.– Gambar Facebook, 6 Disember, 2023.

KOMPLEKS Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mengalami gangguan bekalan elektrik dari 8 malam tadi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengarahkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan itu pada kadar segera.

“Apa yang berlaku ini amat menyusahkan pengguna dan memalukan negeri,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini yang turut memaparkan persoalan pengguna BSI mengenai ketiadaan bekalan kuasa sandaran di situ.

Dalam hantaran itu, Onn Hafiz juga melampirkan notis pemberhentian atau gangguan sementara bekalan elektrik daripada TNB yang memaklumkan bekalan elektrik akan dihentikan pada 8 malam Selasa hingga 4 pagi Rabu bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan.

Selain CIQ BSI, turut mengalami gangguan elektrik ialah pencawang bahagian utama (PPU) Gerbang dan JB Sentral.

Berdasarkan komen dalam hantaran Onn Hafiz itu, kebanyakan pengguna merungut dan kesal dengan kejadian itu kerana terpaksa beratur panjang dan lama dalam kepanasan terutamanya warga emas dan kanak-kanak. – Bernama, 6 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen