Tiada reformasi sebenar jika masih ada birokrasi, kata pengasas Gerakbudaya


Alfian Z.M. Tahir

Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin berkata jabatan di KDN yang menyiasat penerbit buku patut dibubarkan. – Gambar Facebook, 6 Disember, 2023.

PERUBAHAN institusi tidak akan dapat direalisasikan jika pentadbiran mengamalkan birokrasi yang tidak perlu, kata penerbit buku Chong Ton Sin.

Pengasas Gerakbudaya itu memberitahu The Malaysian Insight Putrajaya akan terus menyiasat laporan terhadap penerbit buku yang dianggap kontroversi, malah serbuan di pejabatnya baru-baru ini bukan perkara luar biasa.

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan buku berbahasa Cina dari kedai buku bebas, mendakwa kerana buku itu ada “elemen komunis”.

Buku yang dirampas itu dilaporkan tidak termasuk dalam senarai larangan penerbitan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

Portal berita Malaysiakini melaporkan insiden itu pada awalnya dianggap sebagai pemeriksaan rutin, dengan tiga pegawai KDN melawat kedai buku di Petaling Jaya itu.

“Serbuan itu tidak mengejutkan. Di bawah kerajaan sekarang atau apa juga kerajaan, selagi mereka guna amalan lama, pegawai sama dan birokrasi yang sama, reformasi tidak akan berlaku,” kata Chong.

“Mereka akan terus datang dan periksa dan ambil apa saja buku yang mereka anggap ia ancaman, walau apa pun yang kita cuba jelaskan.”

Chong atau lebih dikenali sebagai Pak Chong, berkata keadaan boleh diperbaiki jika KDN membubarkan jabatan yang ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap penerbit.

“Hapuskan jabatan itu, kemudian baru kita boleh lihat perubahan sebenar. Tetapi selagi ia wujud, mereka akan buat kerja mereka. Mereka diprogramkan seperti itu. Saya tidak terkejut,” katanya.

Pak Chong, yang juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berkata buku yang dirampas itu semuanya adalah memoir ditulis oleh bekas komunis.

“Buku itu memoir. Tidak ada pun tentang bagaimana mengangkat senjata atau melancarkan revolusi.” – 6 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen