Tak boleh tebus tunai kredit eMadani, kata MOF


Kredit eMadani hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet atau QR DuitNow. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan peer-to-peer kredit eMadani oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMadani daripada menjadi mangsa penipuan, sekali gus hilang kredit eMadani mereka.

MoF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai.

“Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMadani jika terdapat laporan bagi mana-mana kes melibatkan pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai,” menurut kenyataan itu.

Program eMadani bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. 

Oleh itu, kredit eMadani tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai.

Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit/perniagaan di seluruh negara.

Pendaftaran program eMadani dibuka bermula hari ini sehingga 20 Februari tahun depan, dan akan memanfaatkan 10 juta rakyat Malaysia dewasa yang layak meliputi golongan B40 dan M40.

Untuk maklumat lanjut mengenai program eMadani, boleh melayari laman sesawang ini. – Bernama, 4 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen