Kumpulan ibu bapa persoal keperluan kelas bukan DLP


Noel Achariam

Ibu bapa dijanjikan anak-anak mereka yang masuk Darjah 1 akan belajar di bawah DLP namun kemudian dimaklumkan mereka akan dipindah ke program biasa, kata bekas menteri pendidikan Radzi Jidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu memperjelaskan keperluan program kelas bukan dwibahasa (DLP) yang akan diperkenalkan tahun depan, kata kumpulan ibu bapa.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata mereka sentiasa memperjuangkan dasar yang memudahkan pilihan ibu bapa dan tidak pernah menentang langkah melaksanakan kelas bukan DLP di sekolah.

“Kedudukan ini bagaimanapun tertakluk kepada premis bahawa tiada kanak-kanak perlu dipaksa masuk ke kelas bukan DLP.

“Tidak kira apa-apa syarat atau prakelayakan yang pernah digunakan oleh sekolah atau KPM pada masa lalu untuk menentukan sama ada kanak-kanak itu akan dimasukkan ke dalam kelas DLP atau bukan DLP.

“Pilihan mesti diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa,” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sekolah yang melaksanakan DLP 100% tahun ini boleh diteruskan.

“Kita teruskan tak ada masalah. Kita akan mulakan balik kelas ‘non DLP’ (tanpa DLP) pada tahun depan,” katanya.

Minggu lalu, bekas menteri pendidikan Radzi Jidin berkata beliau menerima beberapa aduan daripada sejumlah ibu bapa di Kuala Lumpur yang mendakwa ada sekolah sudah menarik balik keputusan mereka membenarkan pelajar mempelajari mata pelajaran di bawah DLP.

“Saya menerima aduan daripada ibu bapa dan apa yang saya boleh simpulkan dasar yang dimaklumkan melalui pekeliling itu tidak jelas.

“Ibu bapa dijanjikan anak-anak mereka yang masuk Darjah 1 akan belajar di bawah DLP namun kemudian dimaklumkan mereka akan dipindah ke program biasa.

“Ibu bapa tidak jelas dengan hala tuju kementerian. Kementerian perlu mmberi penjelasan,” katanya.

Noor Azimah berkata untuk melaksanakan satu kelas bukan DLP tiada dalam garis panduan DLP sedia ada yang terkandung dalam Surat Pekeliling Khas (SPI) KPM Bilangan 3 Tahun 2020.

Beliau berkata mereka tidak fikir mana-mana ibu bapa akan merungut jika anak mereka dimasukkan ke dalam bahasa pengajaran pilihan mereka.

“Persoalan ini tidak akan timbul jika kehendak ibu bapa dipenuhi. Sila hormati dan sediakan pilihan ibu bapa untuk DLP atau bukan DLP.”

Bagi autonomi sekolah mengenai DLP, Noor Azimah berkata mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mesti diajar dan dipelajari dalam Lingua-Franca iaitu bahasa Inggeris.

“Autonomi sepatutnya ialah sekolah menyahut permintaan dan kehendak ibu bapa.

“Meskipun kanak-kanak itu mungkin tidak fasih berbahasa Inggeris bagi mendapatkan ilmu pengetahuan STEM, sekolah harus berusaha untuk memastikan kanak-kanak itu cukup menguasai bahasa Inggeris supaya dapat mengikuti pmbelajaran STEM dalam bahasa Inggeris dan menawarkan DLP kerana kanak-kanak itu dalam fasa belajar.

“Kadang-kadang pihak sekolah dan guru bertindak bertentangan dengan kehendak ibu bapa kerana ibu bapa mempunyai aspirasi lebih tinggi untuk anak-anak mereka.

“Malang juga ada guru yang tidak mahu keluar dari zon selesa untuk mengajar dalam bahasa yang diingini.”

Beliau menambah memberi autonomi kepada sekolah yang sudah memenuhi kriteria bagi melaksanakan DLP adalah terlalu awal.

“Bagaimanapun, pengetua berwaspada dan tidak akan melanggar arahan daripada pihak atasan. Sarawak sebaliknya sudah melaksanakan autonomi untuk memastikan semua sekolah melaksanakan DLP 100%.” – 4 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen