Wahab dedah siapa ‘Mr H’ kepada polis, kata peguam


Wahab dan Agus mengadakan sidang media sebelum ini selepas video itu tular. – Gambar Facebook, 29 November, 2023.

PENOLONG Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terbabit skandal video mendedahkan identiti ‘Mr H’ kepada polis.

Wahab ke Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi tadi untuk memberi keterangan kepada polis, yang mengambil masa kira-kira tiga jam, hari ini.

Peguamnya Faizal Rahman Agus berkata tujuan kehadiran Wahab ke balai untuk mengesahkan identiti ‘Mr H’.

“Hari ini kita mengesahkan individu yang dipanggil polis sebelum ini orang yang sama.

“Pihak polis sebutkan sebelum ini Wahab cuma perlu tampil dan memberi pengesahan identiti ‘Mr H’ dan ia dah dipenuhi,” katanya kepada pemberita.

Sementara Wahab mengelak daripada ditemui pemberita.

Sebelum ini tular rakaman panggilan video antara Wahab dan Ketua Pengarah J-KOM Mohammad Agus Yusoff di mana mereka didakwa berbual lucah.

Keduanya mendakwa video itu disunting dan mereka dijadikan sasaran oleh ‘Mr H’ yang juga pegawai di J-KOM.

Terdahulu, dilaporkan polis sudah memanggil individu didakwa ‘Mr H’ untuk soal siasat.

Wahab dijadualkan memberi keterangan kepada polis pada Ahad namun tidak hadir didakwa kerana masalah tekanan yang teruk, menurut Faizal.

Ketika ditanya keadaan Wahab kini, Faizal berkata kliennya itu dalam keadaan stabil.

“Dia masih lagi dalam ketakutan, tetapi keadaannya stabil,” katanya.

Kata Faizal, Wahab akan membuat laporan polis terhadap ‘Mr H’ dalam masa terdekat. – 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen