BEKAS ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 2 petang hari ini bagi memberi keterangan berhubung video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-Kom dikatakan disunting pihak tidak bertanggungjawab, yang tular baru-baru ini.
Agus yang berkemeja biru menaiki kereta Toyota Estima tiba di IPD berkenaan ditemani peguamnya Faizal Abd Rahman.
Pagi tadi Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata selain Agus yang dipanggil, terdapat lagi beberapa individu lain dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan seorang individu lain.
Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat Kuala Lumpur, mendakwa video itu disunting dan beliau sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. – Bernama, 20 November, 2023.
Komen