KEMENTERIAN Luar pada masa ini giat membuat persiapan sewajarnya bagi proses membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar susulan perang saudara sejak 27 Oktober lepas.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan meluluskan peruntukan khas pada Jumaat lepas, bagi membawa pulang kesemua rakyat Malaysia terbabit.
“Pelaksanaan proses menyelamat itu bagaimanapun adalah tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan oleh pihak berwajib di Myanmar dan China.
“Sebarang perkembangan mengenai proses menyelamat ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Pada Isnin, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir memberitahu media sebanyak 127 rakyat Malaysia telah dikenal pasti terkandas di Laukkaing sehingga kini, berikutan pergolakan di wilayah itu dengan kebanyakannya dipercayai adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. – Bernama, 29 November, 2023.
Komen