Bantuan Ops Ihsan Palestin tiba di Mesir


Pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin menerusi Ops Ihsan, selamat mendarat di lapangan terbang tentera El-Arish di Mesir pagi ini. – Gambar Facebook Malaysia Airports, 4 November, 2023.

PESAWAT kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan, selamat mendarat di lapangan terbang tentera El-Arish di Mesir pagi ini.

Pesawat yang disewa khas kerajaan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, tiba di Mesir kira-kira jam 8.50 pagi (2.50 petang waktu Malaysia).

Membabitkan perjalanan sejauh 7,688 kilometer yang mengambil masa 15 jam, penerbangan pesawat kargo itu terlebih dahulu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dan seterusnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah (Emiriah Arab Bersatu), sebelum tiba di Mesir.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah.

Lapangan terbang tentera El-Arish yang terletak dalam wilayah Sinai Utara, merupakan lapangan terbang yang berhampiran dengan sempadan Rafah iaitu kira-kira 50km dan juga salah satu pusat untuk menerima bantuan yang diselia di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Pada peringkat awal, bantuan itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, namun disebabkan lapangan terbang itu tidak lagi beroperasi sejak tahun lalu, pasukan Ops Ihsan diarah untuk mendarat di lapangan terbang tentera.

Difahamkan sebaik bantuan itu melepasi sempadan Rafah, ia akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di sempadan Nitzana, untuk diagihkan.

Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Semalam pelepasan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Luar Zambry Abd Kadir serta ketua perwakilan asing.

Penerbangan penghantaran kedua sebanyak 20 tan barangan bantuan dijadualkan pada 10 November.

Pertempuran terkini di Palestin yang membabitkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober, mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. – Bernama, 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen