35% pencarum KWSP berumur 54 tahun miliki simpanan kurang RM10,000


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata poencarum KWSP berusia 54 tahun yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 35%.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

SEBAHAGIAN daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun setakat 1 Januari tahun ini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata ahli berusia 54 tahun yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 35% atau 94,827 pencarum dengan jumlah simpanan RM246.1 juta.

“Manakala ahli yang mempunyai jumlah simpanan melebihi RM1 juta mencatatkan peratusan terendah iaitu 2% atau hanya 4,877 ahli, dengan jumlah simpanan RM7.9 bilion,” kata ahli parlimen Bukit Mertajam itu di Parlimen hari ini.

Sim berkata, setakat 1 Januari lalu, terdapat 274,715 ahli berumur 54 tahun iaitu 1.7% daripada 15.7 juta jumlah ahli KWSP.

Jumlah keseluruhan simpanan pencarum berusia 54 tahun itu ialah RM35.72 bilion.

Sim turut berkongsi pecahan pencarum berumur 54 tahun berdasarkan jumlah simpanan mereka.

Selain daripada simpanan di bawah RM10,000, ahli yang mempunyai simpanan antara RM10,001 dan RM20,000 menyumbang kepada 8%, RM20,001 hingga RM50,000 (13%), RM50,001 hingga RM100,000 (12%) , RM101,001 hingga RM200,000 (13%), RM200,001 hingga RM500,000 (13%), dan RM500,001 dan RM1 juta (4%).

Awal tahun ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata sejumlah 6.7 juta pencarum atau 51% daripada mereka yang berumur bawah 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 setakat 31 Disember.

“Dengan jumlah ini, ahli hanya mempunyai purata RM42 sebulan dana persaraan dalam tempoh 20 tahun,” jelas Anwar.

Pada 2019, KWSP telah menetapkan simpanan persaraan minimum yang disyorkan pada RM240,000.

Sim memetik simpanan yang rendah pada usia persaraan sebagai isu warisan, yang menurutnya memerlukan pembaharuan struktur.

Dalam pada itu, Sim berkata KWSP telah menyediakan pelbagai langkah kepada ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka.

Beliau berkata, ahli yang bekerja dan mempunyai majikan boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun pekerja pada bila-bila masa.

“Sehingga separuh pertama tahun ini, seramai 186,00 ahli KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja,” katanya.

Selain itu, Sim juga berkata ahli boleh membuat caruman sendiri pada bila-bila masa melalui skim caruman sukarela untuk menambah simpanan mereka, tertakluk kepada had caruman RM100,000 setahun, berkuat kuasa Jun tahun ini.

“Berdasarkan perkara ini, pada separuh pertama tahun ini, seramai 535,000 ahli telah membuat sumbangan sukarela dengan jumlah sumbangan berjumlah RM3.93 bilion,” katanya. – 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen