Dewan Rakyat lulus RUU Kewangan


Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan (No.2) 2023 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2023.

PERSIDANGAN Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan (No.2) 2023 hari ini.

RUU yang diluluskan selepas bacaan kali ketiga hari ini oleh Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, serta Akta Duti Hiburan 1953.

Pindaan tersebut turut melibatkan Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Levi Kenderaan Barang-Barang 1983, Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998, Akta Cukai Pelancongan 2017, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, dan Akta Levi Pelepasan 2019.

Sim berkata pindaan tersebut adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 termasuk Cukai Keuntungan Modal bagi Pelupusan Saham Tidak Tersenarai, Cukai Minimum Global dan invois elektronik.

“Selain itu Rang Undang-Undang ini akan bertujuan untuk menambah baik pendapatan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang memerlukan pindaan akta-akta yang berkaitan,” katanya. – Bernama, 7 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen