Peruntukan GEG digugurkan berdasarkan pandangan AG, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata tiada faktor lain yang terlibat dalam keputusan menggugurkan peruntutkan GEG. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2023.

PERUNTUKAN Generasi Penamat (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 disebabkan pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang menyifatkan ia “tidak berperlembagaan”.

Walaupun pihak tertentu mendakwa sebaliknya, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata tiada faktor lain yang terlibat dalam keputusan kementerian itu.

“Ia hujah perlembagaan (yang dibangkitkan AGC). Itu satu-satunya faktor,” katanya kepada pemberita ketika taklimat media berkenaan RUU tersebut yang dibentangkan di Parlimen hari ini,” katanya.

Menurut portal berita kesihatan CodeBlue, ia melaporkan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berpendapat peruntukan GEG adalah “tidak berperlembagaan” kerana ia melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kesaksamaan di sisi undang-undang.

Sementara itu bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin membidas kerajaan kerana mengetepikan klausa tertentu apabila kementerian memutuskan untuk membentangkan rang undang-undang yang ditunggu-tunggu.

“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan. Saya gubal (RUU) GEG demi kesihatan awam dan bentang di Parlimen, sebelum ini. RUU ini mengandungi langkah pengawalan bagi penjualan vape dan GEG serta mendapat sokongan komuniti kesihatan awam.

“Mereka (komuniti kesihatan awam) mahu vape diharamkan, namun kita berjaya mencari jalan tengah dengan memasukkan peruntukan mengenai GEG. Kini ia digugurkan (di Dewan Rakyat).

“Kita terlepas peluang untuk meluluskan undang-undang yang penting untuk kesihatan awam, walaupun penjualan vape akan dikawal,” kata bekas ahli Parlimen Rembau itu di Instagramnya.

Khairy mendakwa GEG digugurkan kerana tindakan industri tembakau melobi di Malaysia dan bukannya hujah undang-undang tentang ketidakperlembagaan dalam pelaksanaannya seperti yang dikaitkan oleh Peguam Negara.

Khairy berkata keputusan hari ini merupakan satu kemenangan besar kepada industri tembakau dan vape.

Sementara itu Dr Zaliha berkata GEG hanya dikecualikan buat sementara waktu daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas mendapat pendapat AGC.

Beliau bagaimanapun berkata “ia tidak akan dilupakan” sebaliknya kementerian memutuskan untuk mengutamakan RUU tanpa sebarang isu berikutnya berkaitan perundangan.

Beliau berkata keperluan untuk melihat semula GEG akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan pada masa hadapan. – 28 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen