Tiada lagi larangan jual arak di KL


Pada 1 November 2021, DBKL melarang minuman keras dijual di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2023.

LEMBAGA Perlesenan Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang bersidang selepas lebih setahun, memperbaharui sejumlah 1,519 permohonan lesen minuman keras di bandar ini.

Kelulusan itu bagi permohonan penjualan arak yang dibuat oleh kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina untuk lesen minuman keras.

Ini juga membatalkan keputusan sebelumnya oleh lembaga yang melarang kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina daripada menjual minuman keras di bawah garis panduan yang dikuatkuasakan pada 1 November 2021.

“Walaupun ia isu 2021, jawatankuasa baharu tidak melihat peraturan sedemikian daripada perspektif undang-undang,” tulis Sin Chew Daily memetik Naib Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Pooi Weng Keong, seperti dilaporkan oleh Focus Malaysia.

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita tidak seharusnya terlalu tegas dalam melaksanakan peraturan mengharamkan minuman keras di tempat tidak halal. Pelancong asing dialu-alukan melawat Malaysia dan tidak seharusnya menjauhi Kuala Lumpur hanya kerana larangan arak,” katanya lagi.

Pool juga dilaporkan berkata isu arak akan ditangani secara positif memandangkan sensitivitinya terhadap masyarakat Islam.

“Ahli Jawatankuasa Lembaga Pelesenan Eksais akan mengendalikan permohonan baharu dan pembaharuan semula lesen dalam pendekatan terbuka, proaktif dan positif,” katanya.

“Proaktif bermakna kami cuba sedaya upaya untuk tidak berlengah-lengah dalam meluluskan permohonan. Kami akan meneliti permohonan baharu tidak lama lagi sambil menyemak dasar yang ditetapkan lebih awal.”

Pooi juga berkata jawatankuasa baharu itu bermesyuarat buat kali pertama pada 23 November selepas lebih setahun. Mesyuarat seterusnya ialah pada 20 Disember.

“Mesyuarat terakhir Lembaga Perlesenan Eksais diadakan pada September 2022. Sejak itu, ia tidak bermesyuarat lebih setahun,” katanya.

Ahli jawatankuasa baharu Lembaga Pelesenan Eksais menerima pelantikan pada pertengahan Oktober.

Pooi berkata lembaga menerima sejumlah 513 permohonan baharu untuk lesen minuman keras dan ini memerlukan masa untuk kelulusan. – 28 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen