DUA pemilik kelab komedi Crackhouse hari ini menarik balik permohonan mereka bagi mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen perniagaan kelab komedi itu dan tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota buat selama-lamanya.
Peguam M Pravin yang mewakili Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh yang pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman itu kerana DBKL hanya membatalkan lesen kelab komedi berkenaan bukan menyenaraihitamkan kedua-dua pemohon daripada mendaftarkan perniagaan mereka di Kuala Lumpur.
“Pihak DBKL dalam afidavit jawapan mengesahkan mereka (Rizal, Shankar) tidak pernah disenarai hitam daripada mendaftarkan perniagaan mereka di Kuala Lumpur dan oleh itu, kedua-dua pemohon boleh mendaftarkan perniagaan mereka.
“Justeru, pihak kami menarik balik permohonan semakan kehakiman ini tanpa sebarang kos,” katanya pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk pendengaran permohonan semakan kehakiman yang turut dihadiri peguam Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah selaku responden.
Hakim Amarjeet membenarkan Rizal dan Shankar untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman tanpa sebarang kos.
Pada 23 Mei lalu, kedua-dua pemohon memperoleh kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Kedua-dua pemilik kelab itu, memfailkan permohonan tersebut pada 24 November tahun lepas antaranya memohon deklarasi yang keputusan membatalkan lesen perniagaan kelab komedi itu dan melarang mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya adalah tidak berperlembagaan. – Bernama, 23 Ogos 2023.
Komen