Royalti REE sebanyak 15% bermula 2024, kata MB Kedah


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kadar baharu sebanyak 15% akan dikutip jika REE menjadi bijih keberhasilan utama dalam sektor perlombongan negeri. – Gambar Facebook, 26 November, 2023.

KERAJAAN Kedah menetapkan kadar royalti sebanyak 15% hasil daripada perlombongan unsur nadir bumi (REE) bermula tahun depan.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu adalah satu kadar baharu yang akan dikutip jika REE menjadi bijih keberhasilan utama dalam sektor perlombongan Kedah.

“Bagi memastikan hasil baharu ini akan membawa manfaat sepenuhnya kepada rakyat, untuk 2024, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah merencanakan kutipan hasil daripada sudut Viability of Revenue Collection ataupun sumber hasil kerajaan yang paling berdaya maju untuk masa hadapan.

“Susulan kelulusan penerokaan unsur nadir bumi itu, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memberi peluang Kedah dipilih sebagai projek rintis kedua selepas Perak,” katanya di Alor Setar, pada Ahad.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Sanusi berkata pemilihan bagi projek rintis itu meletakkan Kedah sebagai negeri yang berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE, dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) iaitu sebanyak 250,000 tan berbanding keseluruhan rizab REE Kedah berjumlah 1.196 juta tan.

“Angka ini merupakan penerokaan hasil baharu yang akan diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kita mengharapkan agar potensi hasil yang akan membawa impak besar kepada ekonomi negeri ini akan diuruskan dengan cekap, amanah dan adil untuk semua pihak terutama rakyat Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas pembentangan belanjawan itu, beliau berkata kerajaan negeri berharap sektor itu akan mula menjana hasil menjelang pertengahan 2024, berdasarkan satu kelulusan pengekstrakan yang diberikan sejak Ogos 2022. – Bernama, 26 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen