Koperasi agenda ekonomi rakyat yang perlu disokong, kata PM


Anwar ketika berucap pada Majlis Makan Malam Koperasi Keadilan (KIRA), di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 25 November, 2023.

GERAKAN koperasi adalah sebuah agenda ekonomi rakyat jelas serta agenda reformasi yang perlu disokong dan diperkasakan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata gerakan koperasi adalah cara untuk merakyatkan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada kejayaan pelabur dan syarikat besar.

“Sementara kita berbicara soal ekonomi MADANI, kita tahu pertumbuhan pelaburan besar domestik dan luar negara dan kekuatan ekonomi negara bergantung kepada kekuatan institusi dan syarikat besar.

Tetapi bagi pencinta kemajuan reformasi, dia tahu semua kejayaan ekonomi harus dirakyatkan… melalui idea yang sudah begitu berakar di negara kita iaitu dengan gerakan koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Koperasi Keadilan (KIRA), di Kuala Lumpur, malam tadi.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata gerakan koperasi juga adalah antara langkah parti itu sebagai sebuah parti politik matang untuk tidak meneruskan amalan politik terdahulu yang memunggah kekayaan apabila berada di tampuk kuasa, demi kepentingan pemimpin dan parti.

“Ini adalah satu inisiatif penting dan parti ini harus sedar politik bukan hanya kuasa atau kepentingan peribadi, ia adalah mengenai usaha untuk mendedikasikan diri kita kepada agenda reformasi dalam pelbagai perkara. Alhamdulillah setakat ini, kita agak berjaya melakukannya.

Kesemua pimpinan parti tanpa kekecualian, perlu menunjukkan komitmen untuk menyokong agenda reformasi. Saya akan pantau siapa yang tidak membantu menjayakannya,” kata Anwar.

Sementara itu, Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata koperasi itu dijangka akan melancarkan kedai runcit dan pusat asuhan kanak-kanak pada suku pertama tahun hadapan.

“KIRA membantu Keadilan (PKR) membuka ruang yang baharu untuk anggota terus berkhidmat kepada masyarakat bukan sahaja sebagai entiti politik tetapi juga sebagai satu syarikat sosial,” katanya. – Bernama, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen