Setahun Anwar kemudi kerajaan


Noel Achariam Ravin Palanisamy Desmond Davidson

Hari ini genap setahun pentadbiran kerajaan perpaduan yang pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar AFP, 24 November, 2023.

KERAJAAN perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus berusaha untuk mengangkat martabat Malaysia genap setahun mentadbir negara, kata pemerhati politik.

Dan sepanjang setahun jadi perdana menteri juga Anwar memberi tumpuan untuk memperkasa sektor pendidikan dan kesihatan, serta perpaduan nasional, tambah mereka.

Namun pemerhati politik ini berbeza pandangan mengenai kebebasan media di bawah kerajaan perpaduan.

Berikut pandangan beberapa pakar yang ditemu bual The Malaysian Insight mengenai Anwar dan kerajaan pimpinannya:

Pendidikan

Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi Pertubuhan Ikram Malaysia Mohammad Abdul Hamid berkata masih terlalu awal untuk mengukur atau menilai prestasi kerajaan perpaduan tetapi negara ketika ini berada di landasan yang betul.

Mohammad berkata isu yang harus ditangani segera ialah mengekang pemikiran melampau (ghuluw) dan ekstremisme Islam daripada mempengaruhi golongan muda.

“Maka dalam hal ini pendidikan memainkan peranan penting, dan saya berpandangan inilah tujuan kerajaan melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

“Malah sektor pendidikan juga terus menerima peruntukan tertinggi. Cuma peruntukan untuk R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dan sosial negara masih belum mencukupi,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan sistem pendidikan perlu progresif dan dinamik seiring dengan peredaran zaman.

“Fokus pelajar mudah terganggu lebih-lebih lagi disebabkan pengaruh media sosial. Golongan pendidik perlu dilengkapkan dengan peranti yang sesuai untuk menangani cabaran ini. Pembelajaran dalam bilik darjah masih relevan, namun inovasi dalam pengajaran juga penting,” jelasnya.

Mohamad selain itu berkata isu ketaksamaan dalam pendidikan dan keterangkuman juga tidak boleh diboleh dipandang remeh dan memerlukan tindakan segera.

“Perhatian perlu diberi kepada sekolah-sekolah di luar bandar serta golongan miskin bandar dan kanak-kanak kurang upaya. Kerajaan perlu merapatkan jurang pendidikan dari segi sumber dan kualiti antara sekolah elit (sekolah berasrama penuh) dan sekolah harian, serta antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Banyak yang kerajaan perlu lakukan untuk meningkatkan kesepaduan sosial dan perpaduan nasional menerusi sistem pendidikan,” katanya.

Kesihatan

Ada sedikit penambahbaikan dalam sektor kesihatan negara di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz bagaimanapun berkata terdapat beberapa isu masih belum diselesaikan, yang menurutnya boleh ditangani dengan berkesan.

“Ada sedikit perkembangan dalam isu doktor kontrak apabila erajaan komited untuk menyerap 12,800 doktor kontrak ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun. Kita juga boleh lihat kerjasama awam dan swasta dalam sektor penjagaan kesihatan awam di seluruh negara dipertingkatkan.

“Namun isu-isu seperti hospital sesak, penyelewengan pekerja penjagaan kesihatan, kekurangan doktor pakar, kes buli, lesu upaya dan elaun on-call perlu ditangani dengan berkesan,” kata Azizan.

Menurutnya, kebanyakan isu yang beliau senaraikan adalah berkait dengan sumber manusia yang memerlukan lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, dan katanya kerajaan telah melaksanakan beberapa cadangan yang dikemukakan.

Antara cadangan tersebut termasuk kaedah bagi meningkatkan prestasi dan budaya kerja yang tidak memerlukan peruntukan kerajaan.

Dr Azizan juga menarik perhatian bahawa MMA masih ternanti-nanti tindakan kerajaan terhadap usaha untuk mereformasikan sistem kesihatan negara selaras dengan Kertas Putih Kesihatan.

“Hospital masih sesak, kurang dana dan beban kerja pekerja kesihatan masih terlalu berat serta gaji yang tidak setimpal.

“Kami faham beberapa pembaharuan mungkin memerlukan lebih peruntukan dan perancangan. Namun Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengenal pasti pembaharuan tertentu yang boleh dilaksanakan segera tanpa melibatkan peruntukan atau perubahan dasar yang besar.

“Harus ada pelan induk pembaharuan dengan menetapkan sasaran supaya kita berada di landasan yang betul,” jelas beliau.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 bulan lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan KKM menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak 10.5% daripada jumlah keseluruhan RM393.8 bilion. Ia merupakan peningkatan sebanyak RM4.89 bilion atau 13.45% berbanding RM36.3 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023. 

Malah peruntukan untuk sektor kesihatan bagi tahun depan juga adalah yang terbesar sejak 2014. – 24 November, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen