SPRM beku 41 akaun Aman Palestin


SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap Aman Palestin dijalankan sejak 17 Oktober lalu atas dakwaan menyalahguna wang sumbangan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 41 akaun bank Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti syarikat lain berjumlah lebih RM15 juta semalam, atas dakwaan menyalahguna wang sumbangan orang ramai.

Agensi antirasuah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap syarikat pertubuhan amal itu dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan,” kenyataan itu dipetik.

Aman Palestin bulan lalu berkata ia sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi melengkapkan siasatan berkait pengumpulan derma oleh untuk rakyat Palestin.

Sebelum ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos telah meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin, dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut. 

Pihak berkuasa agama Perlis menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di negeri itu sejak 12 Oktober lalu sehingga siasatan selesai. – 23 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen